Ringkasan Tipah_Tertipu_The_Movie

Cerita ini berkisahkan lima orang jejaka, Azan; Amer; Cat; Sein dan Zain yang berkawan rapat dari sekolah rendah dan memendam perasaan masing-masing kepada perempuan yang sama yang juga kawan rapat mereka, Tipah. Mereka semua menerima satu panggilan daripada Tipah untuk menjelaskan sesuatu buat penghabisan kali. Lalu, mereka berlima dalam perjalanan pulang ke kampung untuk mengetahui siapa pilihan Tipah. Dalam perjalanan tersebut, pelbagai perkara yang tidak dirancang berlaku ke atas mereka.

Masing-masing kini menetap di ibukota setelah bekerjaya. Mereka bergegas pulang ke Perlis untuk mengetahui siapa yang dipilih oleh Tipah kerana mereka sudah menunggu sejak tamat SPM. Semasa berhenti di RnR mereka terlibat dengan satu insiden tembak menembak, dengan pantas mereka menyelamatkan diri tanpa mereka sedar malang yang bakal menimpa.

Mereka dibawa ke ladang getah oleh sekumpulan samseng bermotorsikal berkuasa tinggi, mujurlah mereka tak di apa-apakan. Persahabatan mereka diuji apabila Azan mengaku dia tahu kewujudan beg berisi wang tunai milik samseng itu. Lantas kumpulan itu saling menyalahkan antara satu sama lain. Mereka akhirnya dapat meneruskan perjalanan setelah Azan menggunakan wang milik samseng itu yang ditukar dengan sejadah. Mereka bermalam di dalam hutan kerana enjin rosak dan terkejut kerana terjumpa dengan abang Mamat Khalid sedang menjalani pengambaran filem, sekali lagi mereka dapat dikesan oleh samseng itu dan tayar mereka dicabut.

Filem ini banyak diselang seli dengan babak imbas semula, dimana perjalanan mereka ke utara tanah air lebih pada mengimbau kenangan mereka sepanjang membesar dan perjalanan hidup mereka dari kanak-kanak, remaja hingga tamat persekolahan.

Perjalanan diteruskan dengan mereka menumpang mana-mana kenderaan sebelum sampai ke kampung. Tetapi mereka pasrah kerana tiada seorang dari mereka dipilih kerana dia mempunyai calonnya sendiri, Tipah menganggap mereka seperti adik beradik.