Ekonomi Turki

Rencana utama: Ekonomi Turki

Turki mencatatkan KDNK pariti kuasa beli ke-15 tertinggi[74] dan KNDK nominal ke-17 tertinggi di dunia.[75] Negara ini merupakan salah sebuah anggota pengasas OECD dan G-20 ekonomi utama. Dalam 60 tahun pertama republik, iaitu tahun 1923 hingga 1983, Turki banyak berpegang kepada pendekatan separa statis dengan perancangan belanjawan kerajaan yang ketat serta batasan yang dikenakan oleh kerajaan ke atas penglibatan sektor swasta, perdagangan luar, aliran mata wang asing, dan pelaburan langsung asing. Pada tahun 1983, Perdana Menteri Turgut Özal melaksanakan serantaian pembaharuan yang bertujuan menganjakkan ekonomi daripada sistem statis yang tertebat, kepada model yang lebih berasaskan pasaran dan sektor swasta.[36]

Walaupun pembaharuan mendatangkan pertumbuhan pesat, namun pertumbuhan ini berselang-seli dengan kemelesetan mendadak dan krisis kewangan pada tahun 1994, 1999 (ekoran gempa bumi pada tahun itu),[76] dan 2001,[77] menyebabkan purata pertumbuhan KDNK tahunan pada 4% dari tahun 1981 hingga 2003.[78] Ketiadaan pembaharuan fiskal tambahan, serta kurangan sektor awam yang berat dan menggelembung dan berleluasanya amalan rasuah, menyebabkan inflasi tinggi, sektor perbankan yang lemah dan makroekonomi yang makin tidak menentu.[79] Sejak krisis ekonomi 2001 serta pembaharuan yang dilancarkan oleh menteri kewangan ketika itu, Kemal Derviş, inflasi akhirnya jatuh kepada kadar satu angka, keyakinan pelabur dan pelaburan asing melonjak naik, dan pengangguran juga menyusut.

Turki beransur-ansur membuka pasarannya menerusi pembaharuan ekonomi dengan mengutangkan kawalan kerajaan terhadap perdagangan luar negara serta penswastaan industri milik awam. Pembebasan pelbagai sektor kepada pelibatan swasta dan luar negara berterusan walaupun banyak diperbahaskan dalam politik.[80] Walaupun nisbah hutang awam kepada KDNK tetap di bawah tahap ketika kemelesetan 2001, namun ia mencapai 46% pada tahun 2010 Q3. Kadar pertumbuhan KDNK dari tahun 2002 hingga 2007 berpurata 7.4%,[81] sekaligus menjadikan Turki sebagai salah sebuah ekonomi yang paling pesat membangun di dunia ketika itu. Bagaimanapun, pertumbuhan KDNK susut kepada4.5% pada tahun 2008,[82] dan pada awal tahun 2009, ekonomi Turki terjejas oleh krisis kewangan sedunia, yang mana IMF meramalkan kemelesetan keseluruhan 5.1% pada tahun itu, berbanding dengan anggaran kerajaan Turki sebanyak 3.6%.[83]

Pada awal abad ke-21, inflasi tinggi yang berlarutan ini akhirnya terbendung dan ini membawa kepada pelancaran mata wang baru, iaitu lira baru Turki, pada 1 Januari 2005, untuk mengukuhkan pemerolehan pembaharuan ekonomi serta menghapuskan tinggalan ekonomi yang tidak stabil.[84] Pada 1 Januari 2009, lira baru Turki dinamakan semula sebagai lira Turki, pengenalan wang kertas dan syiling baru. Kesan pembaharuan ekonomi berterusan, inflasi susut kepada 8.2% pada tahun 2005, dan kadar pengangguran pula pada 10.3%.[85]

Salah sebuah syarikat penerbangan yang paling pesat berkembang di dunia, Turkish Airlines dipilih selaku pengangkut rasmi kelab-kelab bola sepak terulung di Eropah, seperti FC Barcelona[86] dan Manchester United.[87] Syarikat ini juga merupakan penaja utama Euroleague Basketball.[88]

Sektor pelancongan telah mengalami pertumbuhan pesat sejak awal 1990-an, dan membentuk sebahagian penting dalam ekonomi negara. Pada tahun 2008, terdapat 31 juta orang pelancong yang melawati negara ini dan menyumbangkan $22 bilion kepada pendapatan Turki.[89] Sektor-sektor utama ekonomi Turki yang lain ialah perbankan, pembinaan, pembuatan kelengkapan rumah, elektronik, tekstil, penapisan petroleum, keluaran petrokimia, makanan, perlombongan, besi dan keluli, industri mesin dan automotif. Turki mempunyai industri automotif yang besar dan berkembang, dan menghasilkan 1,147,110 buah kenderaan bermotor pada tahun 2008, menjadikannya sebagai pengeluar ke-6 terbesar di Eropah dan ke-15 terbesar di dunia.[90][91] Turki juga salah sebuah negara pembina kapal utama di dunia; pada tahun 2007, negara ini menduduki tangga keempat di dunia (mengekori China, Korea Selatan dan Jepun) dari segi bilangan penerimaan tempahan kapal, dan tangga ke-4 juga di dunia (mengekori Itali, Amerika Syarikat dan Kanada) dari segi bilangan kapal layar mewah.[92]

Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboğa di Ankara

Ekonomi Turki semakin bergantung pada perindustrian di kota-kota utama, terutamanya di wilayah barat negara, dan makin kurang bergantung pada pertanian. Namun begitu, pertanian tradisional tetap sebuah tunggak utama ekonomi Turki. Pada tahun 2007, sektor pertanian menyumbangkan 9% KDNK, sementara sektor perindustrian pula menyumbangkan 31% dan sektor perkhidmatan pula 59%.[82] Bagaimanapun, sektor pertanian masih menyumbangkan 27% pekerjaan di negara.[93] Pada tahun 2004, dianggarkan bahawa 46% jumlah pendapatan boleh guna diterima oleh 20% penerima teratas, manakala 20% yang terbawah menerima 6%.[94] Menurut data Eurostat, KDNK PPS per kapita Turki berada pada 45% purata EU pada tahun 2008.[95]


Turki memanfaatkan Kesatuan Kastam Kesatuan Eropah – Turki yang dimeterai pada tahun 1995, untuk meningkatkan pengeluaran industri yang bertujuan eksport, pada masa yang sama menikmati pelaburan asing dari EU di negara. Kini, Turki juga mendapat peluang perjanjian perdagangan bebas bersama Kesatuan Eropah (EU) - tanpa keanggotaan penuh - yang membolehkannya mengilangkan barangan jualan bebas tarif di seluruh pasaran EU.[96][97]

Pada tahun 2008, jumlah eksport mencecah $142 bilion[82] (rakan eksport utama: Jerman 11%, UK 8%, Itali 7%, Perancis 6%, Sepanyol 4%, AS 4%; jumlah eksport ke EU 57%.) Bagaimanapun, jumlah import yang lebih besar pada $205 bilion pada tahun yang sama,[82] menggugat imbangan perdagangan (rakan import utama: Rusia 14%, Jerman 10%, China 8%, Itali 6%, AS 5%, Perancis 5%, Iran 4%, UK 3%; jumlah import EU 40%; jumlah import dari Asia 27%).[98][99]

Setelah bertahun-tahun mengalami kekurangan pelaburan langsung asing (FDI), Turki berjaya menarik FDI berjumlah $22 bilion pada tahun 2007, dan dijangka menarik perangkaan yang lebih tinggi pada masa akan datang.[100] Langkah penswastaan besar-besaran, kestabilan yang dirangsang oleh permulaan rundingan penyertaan Turki ke dalam EU, pertumbuhan yang kukuh dan stabil, serta perubahan struktur sektor perbankan, peruncitan dan telekomunikasi, semuanya menyumbang kepada peningkatan pelaburan asing.[80]