Geografi Turki

Turki ialah sebuah negara rentas benua[67] Eurasia. Turki Asia (yang sebahagian besarnya terdiri daripada Anatolia) yang merangkumi 97% keluasan negara, terpisah dari Turki Eropah oleh Selat Bosporus, Laut Marmara, dan Dardanelles (yang bersama-sama membentuk pautan air di antara Laut Hitam dan Laut Mediterranean). Turki Eropah (Trakia atau Rumelia timur di semenanjung Balkan) hanya mendapat 3% kawasan negara.[68]

Perwilayahan Turki berbentuk seakan-akan segiempat tepat, panjangnya lebih 1,600 kilometer (1,000 batu) dan lebarnya 800 km (500 batu).[65] Ia terletak di antara garis lintang 35° dan 43° U, dan garis bujur 25° dan 45° E. Kawasan Turki, termasuk tasik sekali, menduduki tanah seluas 783,562[69] kilometer persegi (300,948 batu persegi), yang mana 755,688 kilometer persegi (291,773 batu persegi) terletak di Asia Barat Daya dan 23,764 kilometer persegi (9,174 batu persegi) yang selebihnya di Eropah.[65] Turki ialah negara ke-37 terbesar di dunia dari segi keluasan. Negara ini dikelilingi oleh laut dari tiga arah, iaitu: Laut Aegia di barat, Laut Hitam di utara dan Laut Mediterranean di selatan. Turki juga merangkumi Laut Marmara di barat laut.[70]

Bahagian Turki dalam benua Eropah, iaitu Trakia Timur, membentuk sempadan Turki dengan Yunani dan Bulgaria. Bahagian Asia puka, Anatolia, terdiri daripada sebuah penara tinggi di tengah-tengah dengan dataran-dataran pantai yang sempit, di antara banjaran Köroğlu dan Pontus ke utara dan Pergunungan Taurus di selatan. Turki Timur mempunyai landskap yang lebih bergunung-ganang, dan di situ terletaknya punca sungai-sungai seperti Furat, Tigris dan Aras, dan merangkumi Tasik Van dan Gunung Ararat, puncak tertinggi di Turki pada 5,165 meter (16,946 kaki).[70][71]

Turki dibahagikan kepada tujuh kawasan banci: Marmara, Aegia, Laut Hitam, Anatolia Tengah, Anatolia Timur, Anatolia Tenggara dan Mediterranean. Rupa bumi Anatolia utara yang tidak rata di sepanjang Laut Hitam menyerupai jaluran yang panjang dan sempit. Kawasan ini merangkumi kira-kira satu perenam jumlah keluasan Turki. Sebagai arah aliran am, penara pedalaman Anatolia makin ke arah timur berceranggah.[70]

Gunung Ararat (Ağrı Dağı) ialah puncak tertinggi di Turkei pada 5,165 m (16,946 kaki).

Kepelbagaian lanskap Turki merupakan hasil pergerakan bumi kompleks yang membentuk rantau itu selama ribuan tahun dengan kejadian gempa bumi yang agak kerap dan letusan gunung berapi yang kadang-kala. Selat Bosporus dan Dardanelles lahir daripada garis sesar yang merentasi Turki hingga membentuk Laut Hitam. Terdapat garis sesar gempa bumi menyeberangi bahagian utara negara dari timur ke barat, yang menyebabkan gempa bumi besar pada tahun 1999.[72]

Iklim

Kawasan pantai Turki dekat Laut Aegia dan Mediterranean mengalami iklim Mediterranean yang sederhana, dengan musim panas yang panas dan kering dan musim sejuk yang sederhana dingin dan lembap. Kawasan pantai Turki dekat Laut Hitam pula beriklim lautan dengan musim panas yang hangat dan lembap, dan musim sejuk yang sejuk dan juga lembap. Pantai Laut Hitam Turki menerima jumlah kerpasan tertinggi dan merupakan satu-satunya kawasan di Turki yang menerima kerpasan tinggi sepanjang tahun. Bahagian timur pantai itu mendapat purata 2,500 milimeter setahun, iaitu kerpasan tertinggi di negara.

Kawasan pantai Turki dekat Laut Marmara (termasuk Istanbul), yang menghubungkan Laut Aegia dan Laut Hitam, mengalami iklim peralihan antara Mediterranean sederhana dan Lautan sederhana yang musim panasnya antara hangat dan panas, dan sederhana kering, dan musim sejuknya antara nyaman dan sejuk, dan lembap. Salji ada turun di kawasan pantai Laut Marmara dan Laut Hitam hampir setiap musim sejuk, tetapi tidak kekal lebih daripada beberapa hari sahaja. Selain itu, salji jarang turun di kawasan pantai Laut Aegia dan jarang sekali di kawasna pantai Mediterranean.

Keadaan cuaca mungkin lebih melampau di pedalaman yang lebih gersang. Kawasan gunung yang dekat dengan pantai menghalang pengaruh Mediterranean daripada menjangkau ke pedalaman, maka penara Anatolia di tengah pedalaman Turki mendapat iklim kebenuaan dengan perubahan musim yang ketara.

Musim sejuk di penara pula agak melampau. Suhu serendah −30 °C hingga −40 °C (−22 °F hingga −40 °F) boleh berlaku di Anatolia timur. Salji boleh kekal atas tanah selama sekurang-kurangnya 120 hari dalam setahun. Di barat, suhu musim sejuk berpurata di bawah 1 °C (34 °F). Musim panasnya panas dan kering, dengan suhu pada amnya melebihi 30 °C (86 °F) pada waktu siang. Kerpasan tahunan berpurata sekitar 400 milimeter (15 in), yang mana jumlah kerpasan sebenar ditentukan oleh aras tinggi tanah. Kawasan paling kering adalah di dataran Konya dan dataran Malatya, di mana curahan hujan tahunan biasanya kurang daripada 300 milimeter (12 in). Umumnya, Mei adalah yang paling lembap, manakala Julai dan Ogos pula paling kering.[73]