UH-1_Huey
UH-1_Huey

UH-1_Huey

Helikopter jenis UH-1 Huey (daripada huruf pengenalan HU-1) mencapai kematangan sebagai sistem persenjataan semasa perkhidmatan di Vietnam. Helikopter ini kecil, terbang laju, boleh terbang rendah dan boleh diubah suai menjadi beberapa konfigurasi mengikut keperluan keadaan.Helikopter Huey berjaya kerana menggunakan enjin turbin jet Lycoming yang ringan tetapi berkuasa tinggi. Helikopter ini diasaskan dari helikopter Bell 204 dan diberi nama HU-1 (yang membawa kepada nama jolokannya Huey). Dalam tahun 1962, helikopter ini diterima berkhidmat dengan Tentera Darat Amerika Syarikat dengan nama pengenalan UH-1. Di Vietnam, selain digunakan sebagai helikopter utiliti, ia juga amat berguna sebagai helikopter medEvac, pengangkutan anggota dalam serangan udara dan menjalankan misi-misi mencari dan menyelamat. Semasa Perang Vietnam, versi UH1-D dikeluarkan dalam tahun 1963, dengan enjin yang lebih berkuasa dan fiuslaj yang lebih panjang. Helikopter ini dipasangkan dengan dua mesingan M-60 membolehkan anak kapal memberikan tembakan bantuan kepada tentera yang masuk atau keluar daripada helikopter mereka. Roket dipasang untuk membolehkan Huey digunakan sebagai platform serangan untuk memusnahkan jambatan, bangunan dan kereta kebal. Huey yang dipasangkan roket dan mesingan dipanggil Snake berbanding dengan Slick untuk helikopter pengangkut biasa. Meriam Gatling memberikan kadar tembakan melebihi 6,000 tembakan peluru seminit. Kerangka Huey digunakan untuk membina helikopter penyerang AH-1 Cobra dan dilengkapkan dengan roket, minigun dan peluru berpandu. Semasa Perang Vietnam seramai 2,202 orang juruterbang Huey terbunuh dan kira-kira 2,500 buah helikopter Huey musnah, separuh daripada semasa pertempuran.