Tabiat Ular

Pemakanan

Ular memakan tikus.Ular sawa permaidani menjerut lalu menelan ayam.Ular pemakan telur Afrika.

Kesemua ular hanya memakan daging haiwan-haiwan kecil termasuk biawak, ular lain, mamalia kecil, burung, telur, ikan, siput babi dan serangga.[5][9][47] Disebabkan tidak boleh menggigit atau menghancurkan makanan, ular mesti menelan mangsanya bulat-bulat. Saiz badan ular amat mempengaruhi tabiat pemakanannya. Contohnya, ular yang lebih kecil sudah tentu memakan mangsa yang lebih kecil. Ular sawa muda bermula dengan menelan cicak dan tikus sebelum beransur-ansur menerima kijang atau rusa sebagai makanan apabila dewasa.

Rahang ular merupakan struktur yang kompleks. Bercanggahan dengan kepercayaan umum bahawa ular boleh terkehel rahangnya, ular sebenarnya mempunyai rahang bawah yang sungguh anjal, dan kedua-dua belahnya tidak tercantum dengan ketat. Juga, pelbagai sendi lain dalam tengkoraknya membolehkan ular membuka mulut dengan cukup luas untuk menelan mangsanya bulat-bulat, walaupun yang lebih besar diameternya daripada badan ular itu sendiri.[47] Misalnya, ular pemakan telur Afrika mempunyai rahang-rahang anjal yang sesuai untuk memakan telur yang lebih besar daripada diameter kepalanya.[5]:81 Ular jenis ini tiada gigi, tetapi mempunyai bonjolan tulang di hujung dalam spinanya yang digunakan untuk memecahkan kulit telur apabila memakan telur.[5]:81

Biarpun kebanyakan besar ular memakan pelbagai jenis mangsa, namun ada sesetengah spesies yang tertumpu pada mangsa-mangsa tertentu. Ular tedung selar dan bandy-bandy Australia memakan ular lain. Pareas iwesakii dan ular-ular lain Colubridae, pemakan siput babi yang tergolong dalam subfamili Pareatinae, mempunyai lebih banyak gigi di sebelah kanan mulutnya berbanding di kiri, kerana cangkerang mangsanya biasanya berpilin mengikut arah jam[5]:184[48]

Sesetengah ular mempunyai patukan yang berbisa untuk membunuh mangsa sebelum dimakan.[47][49] Ular-ular yang lain pula membunuh mangsa dengan menjerut,[47] ataupun terus menelan mangsa hidup-hidup.[5]:81[47]

Selepas makan, ular berehat sementara proses pencernaan berlangsung.[50] Pencernaan ular amat sukar, terutamanya setelah memakan mangsa yang besar. Bagi spesies yang makan sekali-sekala sahaja, seluruh usus direhatkan antara waktu makan untuk menyimpan tenaga. Kemudian, sistem pencernaan dihidupkan kepada keupayaan penuh dalam masa 48 jam selepas mangsa dimakan. Sebagai makhluk berdarah sejuk, suhu persekitaran amat mempengaruhi pencernaan ular. Suhu yang paling sesuai untuk ular mencerna ialah 30 °C (86 °F). Begitu banyaknya tenaga metabolisme yang digunakan dalam pencernaan ular, hinggakan bagi ular orok-orok Mexico (Crotalus durissus), suhu badan permukaan meningkat sebanyak 1.2 °C (34.2 °F) sewaktu proses pencernaan.[51] Oleh sebab itu, ular yang diganggu selepas baru makan selalunya memuntahkan mangsanya untuk melarikan diri daripada ancaman yang dirasai. Apabila tidak dikacau, proses pencernaannya adalah amat cekap; enzim-enzim pencernaan ular melarutkan dan menyerap segalanya kecuali bulu dan kuku mangsa yang dikumuhkan bersama bahan buangan.

Gerak alih

Ketiadaan kaki tidak menghalang pergerakan ular yang telah mengembangkan beberapa jenis ragam gerak alih untuk merempuh persekitaran-persekitaran tertentu. Tidak seperti gaya jalan haiwan berkaki yang membentuk satu kontinum, setiap ragam gerak alih ular adalah diskret dan berbeza dengan yang lain; sebarang peralihan antara ragam adalah tiba-tiba.[52][53]

Alunan lateral

Alunan lateral merupakan satu-satunya ragam gerak alih dalam air, dan juga ragam gerak alih di daratan yang paling umum.[53] Untuk ragam ini, badan ular bergerak-gerak kanan kiri bersilih ganti, menghasilkan serantaian "gelombang" yang bergerak ke belakang.[52] Biarpun pergerakan ini kelihatan deras, namun ular jarang sekali dicatatkan bergerak lebih laju daripada dua kali panjang badan sesaat.[54] Ragam pergerakan ini menelan kos bersih pengangkutan (kalori yang dibakar semeter bergerak) seperti cicak sama jisim yang berlari.[55]

Daratan

Alunan lateral daratan merupakan ragam gerak alih di daratan yang paling umum bagi kebanyakan spesies ular.[52] Dalam ragam ini, gelombang-gelombang yang bergerak ke belakang itu menolak titik-titik sentuh di persekitaran, misalnya batu, ranting, ketaksekataan tanah, dsb.[52] Akibatnya, setiap objek persekitaran ini menjana daya tindak balas yang dianjurkan ke hadapan dan ke arah garis tengah ular untuk menghasilkan tujahan ke hadapan sementara komponen-komponen lateral mengimbangi satu sama lain.[56] Kelajuan pergerakan ini bergantung pada ketumpatan titik tolak di persekitaran, yang mana ketumpatan purata kira-kira 8 di sepanjang kepanjangan ular adalah paling baik.[54] Kelajuan gelombang sama sejitunya dengan kelajuan ular, dan oleh itu, setiap titik di badan ular mengikuti laluan titik di hadapannya, membolehkan ular untuk menyusup melalui daun-daun yang tebal dan bukaan yang kecil.[56]

Air
Rencana utama: Ular laut
Ular katam tebu laut berjalur, Laticauda sp.

Apabila berenang, gelombang berkenaan membesar dalam bergerak sepanjang badan ular, maka gelombang itu bergerak ke belakang dengan lebih cepat daripada gerakan ular ke hadapan.[57] Tujahan dijana dengan menolak badan ular menentang air, menyebabkan gelinciran yang kelihatan. Biarpun serupa pada umumnya, namun kajian menunjukkan bahawa corak pengaktifan otot adalah berbeza antara alunan lateral air dan daratan, maka adalah wajar bahawa kedua-dua ragam ini dianggap berbeza.[58] Semua ular yang berkenaan boleh mengalun ke hadapan secara lateral (dengan gelombang arah belakang), tetapi hanya ular laut yang didapati mengundurkan pergerakan (bergerak ke belakang dengan gelombang arah depan).[52]

Menyamping

Ular orok-orok Mojave (Crotalus scutulatus) menyamping.

Paling banyak digunakan oleh ular Colubridae apabila ular berkenaan mesti bergerak dalam persekitaran yang tiada ketaksekataan untuk ditolak (oleh itu alunan lateral adalah mustahil), seperti kukup lumpur yang licin, atau gumuk pasir. Gerakan menyamping (sidewinding) ialah suatu bentuk ubah suai pada alunan lateral yang mana kesemua segmen badan yang diorientasikan ke satu arah kekal bersentuhan dengan tanah, sementara segmen-segmen yang lain diangkat, menghasilkan gerakan "bergolek-golek" yang istimewa.[59][60] Ragam gerak alih ini mengatasi kegelinciran pasir atau lumpur dengan menolak-nolak dengan anggota-anggota badan yang statik sahaja, oleh itu meminimumkan gelinciran.[59] Sifat titik sentuh yang statik boleh dilihat pada runut ular yang menyamping, yang menunjukkan setiap bekas sisik perut tanpa sebarang kesan calitan. Ragam gelak alih ini menelan kalori yang rendah, iaitu kurang daripada ⅓ kalori yang ditelan oleh biawak atau ular untuk bergerak dalam jarak yang sama.[55] Tidak seperti yang disangka ramai, tiadanya bukti bahawa perbuatan menyamping dikaitkan dengan kepanasan pasir.[59]

Konsertina

Apabila tiada titik tolak, tetapi ruang tidak cukup untuk menggunakan gerakan menyamping kerana kekangan lateral, seperti di dalam lubang, ular mengharapkan pula gerak alih konsertina.[52][60] Untuk ragam ini, ular mendakap dinding lubang dengan bahagian hadapan tubuhnya sementara bahagian kepala ular memanjang dan melurus.[59] Kemudian, bahagian hadapan itu melentur dan membentuk penambat, lalu bahagian belakang diluruskan dan ditarik ke hadapan. Kaedah gerak alih ini perlahan dan amat banyak menelan tenaga, iaitu sehingga tujuh kali ganda yang diperlukan untuk alunan lateral sepanjang jarak yang sama.[55] Belanja tenaga yang tinggi ini disebabkan oleh pergerakan tubuh ular yang kerap berhenti-mula serta perlunya menggunakan daya otot yang aktif untuk mendakap pada dinding lubang.

Melurus

Ragam gerak alih ular yang paling perlahan ialah melurus (rectilinear), yang juga satu-satunya pergerakan yang tidak memerlukan ular untuk melengkungkan badan secara lateral, tetapi masih boleh berbuat demikian ketika membelok.[61] Dalam ragam ini, sisik perut diangkat dan ditarik ke depan lalu diturunkan sementara tubuh ditarik di atasnya. Gelombang-gelombang pergerakan dan stasis berpencar ke arah belakang, menyebabkan riak-riak pada kulit.[61] Tulang rusuk ular tidak bergerak dalam ragam gerak alih ini, dan kaedah ini paling sering digunakan oleh ular-ular sawa, boa, dan kapak yang besar apabila menghendap mangsa merentas tanah terbuka kerana pergerakan ular begini agak halus dan sukar dikesan oleh mangsa.[59]

Lain-lain

Pergerakan ular di habitat pokok hanya dikaji selidik baru-baru ini sahaja.[62] Ketika memanjat dahan, ular menggunakan beberapa jenis gerak alih bergantung pada spesies dan tekstur kulit pokok.[62] Umumnya, ular akan menggunakan sebentuk gerakan konsertina yang diubah suai untuk dahan yang licin, tetapi bergerak secara alunan lateral jika tiada titik sentuh.[62] Ular lebih cepat bergerak di atas dahan kecil dan apabila terdapat titik sentuh, berbanding dengan haiwan berkaki yang lebih mudah bergerak di atas dahan besar tanpa banyak 'menyepah'.[62]

Ular terbang (Chrysopelea) dari Asia Tenggara melancarkan diri dari hujung dahan, melebarkan tulang rusuk lalu beralun lateral sambil meluncur dari pokok ke pokok.[59][63][64] Ular-ular ini boleh melakukan luncuran yang terkawal sepanjang ratusan kaki, bergantung pada aras tinggi ketika melancar, dan juga mampu berpusing di dalam udara.[59][63]

Rujukan

WikiPedia: Ular http://www.ctv.ca/servlet/ArticleNews/story/CTVNew... http://www.aucklandmuseum.com/349/natural-history-... http://www.cn939.com/tcm-article-read-4694.html http://www.fabuloustravel.com/gourmet/travel/cobra... http://books.google.com/books?id=BumyQJ14n8sC&pg=P... http://articles.timesofindia.indiatimes.com/2006-0... http://www.kingsnake.com/westindian/metazoa12.html http://www.mapress.com/zootaxa/2008/f/zt01841p030.... http://news.nationalgeographic.com/news/2002/04/04... http://www.nature.com/nature/journal/v440/n7087/ed...