Undang-undang_antarabangsa

Undang-undang antarabangsa ialah badan undang-undang yang "mengawal kegiatan-kegiatan entiti yang mempunyai keperibadian antarabangsa". Secara tradisi, itu bermaksud kelakuan dan hubungan dua hala antara negara-negara dunia. Akan tetapi, sekarang undang-undang antarabangsa juga difahami sebagai meliputi struktur dan kelakuan pertubuhan antarabangsa dan, setakat tertentu, perbadanan-perbadanan multinasional dan individu-individu. Sebagai contoh, rangkaian restoran McDonald's ialah badan korporat antarabangsa manakala George Soros ialah salah satu contoh individu berpengaruh di peringkat antarabangsa.Sebagaimana dikatakan oleh Rosalyn Higgins dalam bukunya "Masalah-masalah dan Proses: Undang-undang Antarabangsa dan bagaimana kita menggunakannya" (Problems and process: International law and how we use it)[1], undang-undang antarabangsa ialah sistem normatif "yang digubal berdasarkan prinsip-prinsip yang sama, prinsip yang diikuti semua, tidak kira sama ada kita kaya atau miskin, berkulit putih atau hitam, beragama atau tidak, atau datang dari negara yang maju atau sedang membangun". Keperluan undang-undang antarabangsa ketara apabila berlakunya keinginan-keinginan dan kehendak berbeza mengikut negara di peringkat antarabangsa. Undang-undang antarabangsa adalah perlu bagi mengatur keinginan dan kehendak antara negara yang sering bercanggah ini.Istilah "Undang-undang antarabangsa umum" harus dibezakan dengan "Undang-undang antarabangsa khusus". Kedua-duanya merupakan sistem undang-undang supranasional. Undang-undang antarabangsa umum merujuk kepada hubungan atara negara dan entiti antarabangsa manakala undang-undang antarabangsa khusus merujuk kepada percanggahan undang-undang munisipal antara undang-undang negara yang berbeza apabila berlaku, umpamanya, masalah perceraian dan hak penjagaan anak yang berlaku antara keluarga yang ahlinya berlainan warganegara. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada hubungan khusus individu dalam negara berasingan mereka serta undang-undang yang manakah harus dipakai dalam keadaan ini. Undang-undang antarabangsa umum biasanya dipanggil undang-undang antarabangsa sahaja.