Pengelasan Ungulat

Sejarah

Ungulata yang dahulunya dikira sebagai order, kini terpecah kepada yang berikut: Perissodactyla (ungulat berjari ganjil), Artiodactyla (ungulat berjari genap), Tubulidentata (aardvark), Hyracoidea (hyrax), Sirenia (dugong dan manati), dan Proboscidea (gajah) menurut perkaitan sesama mereka yang terdapat pada rekod fosil.[2]

Akan tetapi, kajian morfologi[3][4][5][6] dan molekul[7][8] baru-baru ini telah mendapati bahawa aardvark, hyrax, dugong, dan gajah lebih rapat bersaudara dengan sengi, tenrec, dan tikus tanah mas daripada ahli-ahli Perissodactyla dan Artiodactyla dan juga daripada Afrotheria. Gajah, dugong dan hyrax digolongkan dalam klad Paenungulata, sementara aardvark dianggap sebagai saudara rapat dengan Paenungulata ataupun rapat dengan segi dalam klad Afroinsectiphilia.[9] Ini merupakan satu contoh evolusi tumpu yang ketara.[10]

Kini terdapat pertikaian sama ada Ungulata ini merupakan kelompok klados (asas evolusi) ataupun sekadar kelompok fenetik (takson bentuk) atau takson rakyat (serupa tetapi tidak semestinya bersaudara). Sesetengah kajian sememangnya mendapati bahawa ungulat berjari ganjil mahupun genap membentuk satu salasilah monofiletik,[11][12][13] iaitu bersaudara rapat dengan ahli-ahli Carnivora dan tenggiling[14][15] dalam klad Fereuungulata, ataupun dengan kelawar.[16] Kajian-kajian lain mendapati bahawa kedua-dua order ini tidak begitu rapat bersaudara, iaitu ada yang mengaitkan Perissodactyla dengan kelawar dalam Pegasoferae[17] dan ada juga yang mengaitkan Artiodactyla sebagai saudara rapat kelawar.[18]

Taksonomi

Kuda belang dataranBadak sumbu hitamRusa Père DavidBadak airPaus biruDolfin am

Yang berikut adalah ringkasan taksonomi (dengan tanggapan bahawa ungulat sememangnya satu kelompok semula jadi) dengan keluarga-keluarga yang masih wujud mengikut turutan hubungan mereka. Sila ingat bahawa masih terdapat beberapa titik pertikaian seperti hubungan keluarga-keluarga Pecora dengan paus balin. Rujuk setiap keluarga untuk hubungan sesama spesies dan juga pertikaian dalam rencana masing-masing.