Budaya United_Kingdom

Rencana utama: Budaya United Kingdom

Budaya United Kingdom dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuklah bentuk kepulauan negara ini serta sejarahnya sebagai sebuah negara demokrasi liberal barat, kuasa besar, dan kesatuan siasah empat negeri yang masing-masing memelihara unsur-unsur tradisi, adat resam dan perlambangan yang tersendiri. Kesan peninggalan Empayar British, pengaruh British nyata dalam pengamalan bahasa, budaya dan sistem undang-undang di kebanyakan bekas tanah jajahannya, termasuklah Australia, Kanada, India, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

Media dan hiburan

Alfred Hitchcock

UK merupakan salah sebuah penyumbang terbesar kepada persada perfileman antarabangsa di samping Amerika Syarikat. Sejak pembukaan Ealing Studios, studio filem tertua (yang masih beroperasi) di dunia[261], diikuti oleh kebangkitan bakat-bakat arahan dan lakonan seperti Alfred Hitchcock dan Charlie Chaplin di mata penggemar filem Hollywood, Britain diberkati dengan kejayaan filem-filem buatan tempatan di pasaran dunia, khususnya rantaian filem cetera Harry Potter dan James Bond yang menjadi francais yang paling lumayan di pawagam sedunia[262], di samping bintang-bintang lakonan yang menambat hati studio Hollywood peminat filem seluruh dunia dari dahulu hingga kini, seperti Julie Andrews, Sean Connery, Peter Sellers dan Kate Winslet.

Sebelum perfileman dicipta, bumi UK sudah lama berjinak dengan seni pementasan. Sasterawan agung William Shakespeare banyak mengarang cerita-cerita yang khusus untuk lakonan pentas. Seni pementasan dimodenkan dengan bentuk muzikal yang tertumpu di daerah West End, London. Antara tokoh-tokoh terkenal di sebalik muzikal British ialah George Bernard Shaw, Oscar Wilde, W. S. Gilbert dan Andrew Lloyd Webber yang terkenal kerana muzikal Cats dan lain-lain yang turut dipentaskan di Broadway di New York, AS.

Sebagai negara perintis teknologi televisyen, UK berbangga dengan pengaruh Perbadanan Penyiaran British (BBC) sebagai badan penyiaran yang serba lengkap dengan prasarana radio, televisyen dan Internet untuk tatapan audiens tempatan dan antarabangsa, bahkan juga mempunyai ratusan saluran TV dan radio swasta yang disiarkan di peringkat setempat mahupun seluruh negara, termasuk juga bahasa minoriti seperti saluran TV S4C dalam bahasa Wales. Penduduk UK perlu memegang lesen televisyen berbayar untuk menerima siaran TV secara sah di sisi undang-undang. Perkhidmatan TV berbayar ditawarkan menerusi bahantara kabel (Virgin Media) satelit (Freesat dan British Sky Broadcasting), mahupun IPTV. Seluruh UK beralih ke sistem televisyen terestrial digital pada tahun 2012.[263]

The Beatles

Masyarakat UK juga tidak asing lagi dengan muzik, baik tradisional mahupun moden. Industri rakaman muzik merupakan penggerak utama pengaruh budaya UK ke seluruh dunia semenjak terbenamnya Empayar British. Corong radio dan peti nyanyi pada 1960-an dikuasai oleh kugiran The Beatles yang mencapai rekod jumlah unit rakaman terjual mencecah satu bilion di seluruh dunia.[264][265] Kumpulan-kumpulan muzik lain seperti The Rolling Stones, Bee Gees Queen, Oasis dan Coldplay, serta artis-artis solo seperti Sir Elton John dan Cliff Richard tidak ketinggalan memahat nama mereka dalam hati peminat muzik popular antarabangsa dengan kelarisan karya muzik mereka.

Selain TV dan radio, media akhbar masih kekal sebagai bahantara penting dalam masyarakat UK. Akhbar-akhbar terlaris di UK berbentuk tabloid yang menyiarkan laporan sensasi, misalnya The Sun dan Daily Mail, manakala pasaran akhbar berita "serius" pula diterajui oleh The Daily Telegraph dan The Guardian. Di alam siber, Britain diberikan domain peringkat tinggi kod negara .uk.

Sastera, kesenian dan falsafah

Potret sahih William Shakespeare yang tercetak pada kulit depan buku terbitan tahun 1623 ini.

UK menerbitkan kira-kira 206,000 buah buku setahun, menjadikannya salah sebuah negara penerbit buku terbesar di dunia.[266] William Shakespeare yang terkenal sebagai penyajak dan dramatis disanjungi sebagai salah seorang sasterawan agung di dunia.[267] Sebelum Shakespeare, bangkitnya tokoh bernama Geoffrey Chaucer yang dipercayai sebagai orang pertama yang berkarya sastera dalam bahasa Inggeris, oleh itu diberi gelaran "Bapa Kesusasteraan Inggeris". Bidang sastera British dirancakkan lagi pada abad ke-18 hingga ke-20 oleh bakat-bakat yang berdaya kreatif dan kritis seperti Daniel Defoe (Robinson Crusoe), Arthur Conan Doyle (Sherlock Holmes), Charles Dickens (Oliver Twist), dan George Orwell (Animal Farm, Nineteen Eighty-Four). UK juga merupakan tempat kelahiran ramai sasterawan kanak-kanak yang terhebat di dunia, misalnya Lewis Carroll (Alice in Wonderland), Rudyard Kipling (Jungle Book), Beatrix Potter (Peter Rabbit), dan J.K. Rowling (Harry Potter).

Karya puisi tertua yang dikenali dari Britain, Y Gododdin, mungkin dikarang dalam bahasa bahasa Cumbric atau Wales Lama pada akhir abad ke-6 dan mungkin mengandungi sebutan terawal mengenai Raja Arthur.[268] Geoffrey dari Monmouth mengembangkan legenda Arthur dengan mengarang kisah sejarah palsu British, iaitu Historia Regum Britanniae.[269]

United Kingdom terkenal kerana tradisi “British Empiricism”, satu cabang falsafah ilmu yang menyatakan bahawa pengetahuan yang diperoleh daripada pengalaman sahaja adalah besar, dan juga “Falsafah Scotland” ataupun ‘Aliran Akal Budi Scotland’ (Scottish School of Common Sense).[270] Antara ahli-ahli falsafah terkenal yang mengamalkan British Empiricism ialah John Locke, George Berkeley dan David Hume, manakala Dugald Stewart, Thomas Reid dan William Hamilton merupakan pengamal utama aliran “akal budi” Scotland. Dua orang British terkenal kerana menggunakan teori falsafah moral Utilitarianisme, mula-mulanya oleh Jeremy Bentham diikuti oleh John Stuart Mill dalam karangannya, Utilitarianism.[271][272]

Sukan

Stadium Wembley di England.

Bumi United Kingdom merupakan tempat kelahiran atau mekarnya pelbagai jenis sukan, termasuk bola sepak, ragbi, lumba dayung, tinju, badminton, kriket, tenis dan golf. Dalam pertandingan antarabangsa, England, Scotland, Wales, dan Ireland Utara diwakili oleh pasukan-pasukan berasingan dalam kebanyakan sukan berpasukan dan juga Sukan Komanwel. (Dalam konteks kesukanan, pasukan-pasukan negeri ini bersama-sama digelar sebagai Home Nations.) Akan tetapi, terdapat sesetengah acara yang mana seluruh United Kingdom diwakili oleh sebuah pasukan, khususnya Sukan Olimpik apabila UK diwakili oleh pasukan Great Britain. London merupakan tuan rumah Sukan Olimpik pada tahun 1908, 1948 dan 2012, menjadikannya bandaraya pertama yang menganjurkan temasya Olimpik sebanyak tiga kali.

Bola sepak sukar disangkal sebagai sukan yang paling diminati oleh masyarakat UK. Setiap negeri menurunkan pasukan bola sepak masing-masing di pertandingan antarabangsa, apatah lagi impian membentuk pasukan UK yang bersatu untuk sukan Olimpik boleh tetapi amat sukar tercapai kerana ini boleh menyebabkan persatuan bola sepak negeri hilang kebebasan lalu disanggah oleh FIFA.[273] Setiap negeri di UK, khususnya England dan Scotland, mempunyai banyak kelab bola sepak yang mewakili kaunti atau bandar setempat. Liga Perdana Inggeris mendapat ikutan ramai di seluruh dunia.

Dalam sukan ragbi, England, Scotland, Wales dan Ireland (Ireland Utara bergabung dengan Republik Ireland) menurunkan pasukan masing-masing. Ragbi terbahagi kepada dua jenis utama iaitu ragbi kesatuan (rugby union) dan ragbi liga (rugby league) yang mengamalkan peraturan masing-masing, oleh itu setiap negeri memerlukan dua pasukan ragbi yang berasingan mengikut jenisnya. Akan tetapi, pasukan UK bersatu masih diturunkan untuk kejohanan Ashes menentang Perancis, Australia dan New Zealand. Dalam sukan kriket, para pemain England dan Wales bersatu dalam satu pasukan England, iaitu satu-satunya pasukan negeri UK yang berstatus "Test".[274] Pemain Scotland dan Ireland juga menyertai pasukan England untuk perlawanan Test kerana pasukan masing-masing tidak berstatus Test.

UK juga terkenal sebagai tempat acara kejohanan tahunan yang berprestij untuk sukan tenis (Wimbledon), badminton (All-England), lumba kuda (Epsom Derby, Royal Ascot), dan lumba kereta Formula Satu (Silverstone). Banyak juga pasukan dan pemandu F1 yang berpangkalan di UK atas sebab-sebab prasarana. Scotland bermegah sebagai tempat kelahiran sukan golf.