Ekonomi United_Kingdom

Rencana utama: Ekonomi United Kingdom
London ialah pusat kewangan terbesar di dunia selain New York.[117][118]

UK mempunyai ekonomi pasaran bebas yang terkawal separa. Berdasarkan kadar tukaran pasaran, kini UK merupakan ekonomi keenam terbesar di dunia dan ketiga terbesar di Eropah selepas Jerman dan Perancis.[119] Ekonomi UK dewasa ini diuruskan sejajar dengan prinsip-prinsip peliberalan pasaran serta percukaian dan peraturan yang rendah. Penglibatan kerajaan dalam ekonomi dilaksanakan oleh Canselor Perbendaharaan (Chancellor of the Exchequer). Sejak tahun 1997, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank England yang diketuai oleh Gabenor Bank England, dipertanggungjawabkan menetapkan kadar faedah pada tahap yang perlu untuk mencapai sasaran inflasi ekonomi keseluruhan yang ditetapkan oleh Canselor setiap tahun.[120]

Pada Julai 2007, hutang kerajaan UK sebanyak 35.5% daripada KDNK.[121] Angka itu meningkat krpada 56.8% KDNK pada Julai 2009.[122] Pada 23 Januari 2009, perangkaan Kerajaan dari Jabatan Statistik Negara menunjukkan bahawa UK secara rasminya mengalami kemelesetan buat kali pertama sejak tahun 1991.[123] Negara ini mula mengalami kemelesetan pada suku terakhir tahun 2008, diburukkan oleh meningkatnya pengangguran yang meningkat dari 5.2% pada Mei 2008 kepada 7.6% pada Mei 2009. Pada Januari 2011, kadar pengangguran golongan berusia 18 hingga 24 tahun meningkat dari 11.9% kepada 20.3%, iaitu yang tertinggi sejak rekod semasa bermula pada tahun 1992.[124]

Revolusi Perindustrian bermula di UK[125] dengan mula-mula bertumpu kepada industri tekstil, kemudian diikuti oleh industri berat yang lain seperti pembinaan kapal, perlombongan arang, dan pembuatan keluli.[126][127]Empayar ini mencipta pasaran luar negara untuk keluaran British, justeru membolehkan UK mendominasi perdagangan antarabangsa pada abad ke-19. Bagaimanapun, setelah negara-negara lain juga berindustri, ditambah pula dengan kegawatan ekonomi selepas dua perang dunia, United Kingdom mulai kehilangan kelebihan daya saingnya, dan perindustrian beratnya banyak susut sepanjang abad ke-20. Walau apapun, perkilangan masih banyak menyumbang kepada ekonomi, biarpun hanya satu perenam keluaran negara pada tahun 2003.[128]

Bank England; bank pusat United Kingdom.

Mata wang UK ialah paun sterling (pound sterling) yang berlambang £. Bank England merupakan bank pusat yang bertanggungjawab mengeluarkan mata wang. Bank-bank di Scotland dan Ireland Utara mempertahankan hak untuk mengeluarkan wang kertas sendiri, asalkan mereka menyimpan wang kertas Bank England yang secukupnya dalam rizab untuk menampung keluarannya. Paun sterling juga digunakan sebagai mata wang rizab oleh kerajaan dan institusi lain, dan merupakan yang ketiga terbesar selepas dolar Amerika Syarikat dan euro.[129] UK memutuskan untuk tidak memakai euro sewaktu mata wang itu ditubuhkan. Pada tahun 2007, Perdana Menteri Gordon Brown mengetepikan kemungkinan menyertai euro dalam masa depan terdekat atas alas bahawa keputusan itu adalah yang tepat demi kebaikan Britain dan Eropah.[130] Kerajaan pimpinan Tony Blair pernah menjanjikan pungutan suara awam untuk memutuskan keahlian euro sekiranya “lima ujian ekonomi” dipuaskan. Pada tahun 2005, 55% warga UK membantah penerimagunaan mata wang itu, manakala 30% menyokongnya.[131]

London merupakan sebuah pusat perdagangan dan perniagaan antarabangsa utama, dan juga peneraju tiga “pusat operasi” ekonomi global (di samping Bandar Raya New York dan Tokyo).[132] Sebagai pusat kewangan terbesar di dunia, bandaraya London tidak lengkap tanpa Bursa Saham London, Pertukaran Niaga Hadapan dan Opysen Kewangan Antarabangsa London, dan pasaran insurans Lloyd's of London. London is also a major legal centre, with four of the six largest law firms in the world headquartered there.[133] Ia mempunyai tumpuan cawangan bank luar negara yang terbesar di dunia. Sebilangan besar syarikat multinasional yang tidak bertapak utamanya di UK telah memilih London sebagai pangkalan serantau Eropah atau sedunia. Ibu negeri Scotland, Edinburgh, juga bermegah dengan salah sebuah pusat kewangan terbesar di Eropah[134] dan juga terletaknya ibu pejabat Royal Bank of Scotland Group, salah sebuah bank terbesar di dunia. Industri kreatif UK menyumbangkan 7% nilai kasar tambahan pada 2005 dan meningkat pada purata 6% setahun dari tahun 1997 hingga 2005.[135]

Sayap dan enjin Airbus A380 dikilang di UK.

Industri permotoran British merupakan sebuah bidang yang penting dalam sektor perkilangan negara ini, namun pengaruhnya makin luntur ekoran kejatuhan MG Rover Group, apalagi kebanyakan industrinya adalah milik luar negara. Penghasilan pesawat awam dan pertahanan diterajui oleh BAE Systems, kontraktor pertahanan kedua terbesar di dunia,[136] dan firma seluruh Eropah EADS, pemilik Airbus. Rolls-Royce memegang kepentingan besar dalam pasaran enjin aeroangkasa sedunia. Industri kimia dan farmasi UK gah sekali dengan firma-firma farmaseutikal kedua dan keenam terbesar di dunia (GlaxoSmithKline dan AstraZeneca)[137] yang bertapak di UK.

Sektor perkhidmatan UK pula banyak menikmati pertumbuhan dan kini menyumbangkan 73% KDNK.[138] Sektor perkhidmatan dikuasai oleh perkhidmatan kewangan, terutamanya perbankan dan insurans. Ekonomi British juga mementingkan bidang pelancongan, kerana UK merupakan destinasi pelancongan keenam terunggul di dunia dengan ketibaan lebih 27 juta pelancong pada tahun 2004.[139] London berbangga sebagai bandaraya paling banyak pelawatnya di dunia dengan 15.6 juta kunjungan pada tahun 2006, jauh di hadapan Bangkok di tempat kedua (10.4 juta kunjungan) dan Paris di tempat ketiga (9.7 juta).[140]

Garis kemiskinan di UK umumnya ditetapkan pada 60% pendapatan isi rumah median.[note 3] Pada tahun 2007-2008, 13.5 juta orang, atau 22% kependudukan negara ini, hidup di bawah garis kemiskinan ini, bermakna kemiskinan relatifnya lebih tinggi daripada semua kecuali empat negara anggota EU.[141] Pada tahun yang sama, seramai 4.0 juta orang kanak-kanak, iaitu 31% jumlah kanak-kanak senegara, tinggal dalam isi rumah di bawah garis kemiskinan, setelah diambil kira kos perumahan, iaitu susut 400,000 orang sejak tahun 1998-1999.[142]

Sains dan teknologi

Sir Isaac Newton

United Kingdom sebagai sebuah negara unggul dalam pemajuan sains[106] pernah menerajui Revolusi Perindustrian dan banyak melahirkan saintis dan jurutera yang terkenal dengan kemajuan penting,[125] termasuklah;

Charles Darwin

Projek-projek kejuruteraan awam terkemuka yang dipelopori oleh Isambard Kingdom Brunel antara lainnya, menyumbang kepada kemajuan sistem pengangkutan rel. Kemajuan lain yang dipelopori di UK termasuk kronometer marin, enjin pesawat, basikal moden, pencahayaan elektrik, turbin wap, elektromagnet, pembunyian stereo, wayang bergerak, kipas skru, enjin pembakaran dalam, radar tentera, komputer elektronik, fotografi, aeronautik, air soda, IVF, kejururawatan, pembedahan antiseptik, pemvaksinan, dan antibiotik.

Antara jurnal-jurnal sains yang diterbitkan di UK termasuk Nature, British Medical Journal dan The Lancet. Pada tahun 2006, dilaporkan bahawa UK menyumbang 9% kertas kerja sains sedunia yang mendapat 12% kongsian petikan, iaitu yang kedua tertinggi di dunia di belakang AS.[151]Pada 1950-an, UK meraih lebih banyak Hadiah Nobel dalam Fizik berbanding mana-mana negara lain[152].

Pengangkutan

Bangunan Terminal 5 Heathrow.Lapangan Terbang Heathrow London mencatat jumlah penumpang antarabangsa terbesar di dunia.[153][154]

Sistem pengangkutan UK dilengkapi rangkaian jalan raya berturap yang jumlah panjangnya 394,428 kilometer (245,086 mi), termasuk rangkaian lebuh raya yang sepanjang 3,519 kilometer (2,187 mi).[106] Pada 2009, Great Britian mempunyai sejumlah 34 juta kenderaan berlesen.[155] Rangkaian kereta api United Kingdom pula berjumlah 16,454 kilometer (10,224 mi), iaitu landasan tolok piawai sepanjang 16,151 kilometer (10,036 mi) di Great Britain tambah landasan tolok lebar sepanjang 303 kilometer (188 mi) di Ireland Utara.[106] Pihak berkuasa kini mempertimbangkan rancangan membina landasan kelajuan tinggi baru menjelang tahun 2025.[156]

Pada tempoh Oktober 2009 hingga September 2010, semua lapangan terbang di UK menguruskan sejumlah 211.4 juta penumpang.[157] Dalam tempoh itu, tiga lapangan terbang yang terbesar ialah Heathrow (65.6 juta penumpang), Gatwick (31.5 juta penumpang) dan Stansted (18.9 juta penumpang).[157] Lapangan Terbang Heathrow London yang terletak 24 kilometer (15 mi) di barat ibu negara, mencatat jumlah penumpang antarabangsa terbesar di dunia[153][154] di samping menjadi hab utama British Airways, BMI dan Virgin Atlantic.[158]

Tenaga

Platform minyak di Laut Utara

Pada tahun 2006, UK menjadi pengguna tenaga kesembilan terbesar dan pengeluar tenaga ke-15 terbesar di dunia.[159] Pada tahun 2007, UK mencatat jumlah keluaran tenaga sebanyak 9.5 kuadrilion Btus, yang terdiri daripada petroleum (38%), gas asli (36%), arang (13%), nuklear (11%) dan sumber boleh baharu yang lain (2%).[160] Pada tahun 2009, UK mengeluarkan 1.5 juta tong petroleum sehari dan mengguna 1.7 juta tong sehari.[161] Pengeluaran petroleum negara ini sudah menyusut, dan UK menjadi pengimport bersih minyak sejak tahun 2005.[161] Pada tahun 2010, UK memiliki rizab petroleum terbukti sekitar 3.1 bilion tong, iaitu yang terbesar di kalangan negara-negara ahli EU.[161]

Pada tahun 2009, UK merupakan pengeluar gas asli terbesar di EU, dan ke-13 terbesar di dunia.[162] Namun demikian, pengeluaran gas asli UK juga menyusut dan negara ini menjadi pengimport bersih sejak tahun 2004.[162] Pada tahun 2009, UK mengeluarkan 19.7 juta tan arang dan menggunakan 60.2 juta tan.[160] Pada tahun 2005, UK mempunyai rizab arang boleh pulih terbukti sebanyak 171 juta tan.[160] Dianggarkan bahawa negara ini mampu mengeluarkan arang sebanyak 7 bilion hingga 16 bilion tan di kawasan-kawasan daratan yang terkenal pasti menerusi pengegasan arang bawah tanah.[163] Berdasarkan tahap penggunaan arang semasa di UK, jumlah sebegini mencukupi untuk UK selama 200 hingga 400 tahun.[164]

Di UK terletaknya sebilangan syarikat tenaga besar, antaranya syarikat gergasi BP dan Royal Dutch Shell.[165][166]