Geografi United_Kingdom

Topografi UK.

Jumlah keluasan United Kingdom kira-kira 243,610 kilometer persegi (94,060 bt2), termasuklah pulau Great Britain, satu perenam kawasan pulau Ireland yang tertumpu di timur laut, dan pulau-pulau kecil di kelilingnya. UK terletak di antara Lautan Atlantik Utara dan Laut Utara, dan terpisah dari pantai Perancis utara oleh Selat Inggeris dengan jarak sekitar 35 kilometer (22 mi).[106] Pada tahun 1993, 10% kawasan UK dilitupi hutan, 46% dijadikan kawasan rumput ternak, dan 25% lagi untuk tujuan pertanian.[107] Kedudukan Balai Cerap Diraja di Greenwich, London, merupakan titik penentu Meridian Perdana.

United Kingdom terletak di antara garis lintang 49° dan 61° U, dan garis bujur 9° B hingga 2° T. Ireland Utara berkongsi sempadan darat sepanjang 360-kilometer (224 mi) dengan Republik Ireland.[106] Garis pinggir laut Great Britain panjangnya 17,820 kilometer (11,073 mi).[108] Great Britian dihubungkan dengan tanah besar Eropah dengan Terowong Selat (Channel Tunnel), terowong bawah air yang terpanjang di dunia dengan kepanjangan 50 kilometer (31 mi) (38 kilometer (24 mi) di bawah permukaan air).[109]

England mengisi lebih sedikit daripada separuh jumlah keluasan UK, meliputi 130,395 kilometer persegi (50,350 bt2).[110] Sebahagian besar negara ini berupa bumi tanah pamah,[107] dengan kawasan pergunungan di barat laut garis Tees-Exe termasuk Pergunungan Cumbria di Daerah Tasik (Lake District), Pennines dan batu kapur di Daerah Puncak (Peak District), Exmoor dan Dartmoor. Sungai-sungai dan kuala-kuala utamanya ialah Thames, Severn dan Humber. Gunung tertinggi di England ialah Scafell Pike (978 meter (3,209 ka)) yang letaknya di Lake District.[107]

Ben Nevis, di Scotland, merupakan puncak tertinggi di Kepulauan British

Scotland mengisi kurang sedikit daripada satu pertiga jumlah keluasan UK, meliputi 78,772 kilometer persegi (30,410 bt2),[111] termasuk hampir 800 buah pulau,[112] yang tertumpu di arah barat dan utara dari tanah besar, khususnya Hebrides, Orkney dan Shetland. Topografi Scotland menonjol kerana Sesar Sempadan Tanah Tinggi (Highland Boundary Fault), sebatang retak batu yang merentasi Scotland dari Arran di barat hingga Stonehaven di timur.[113] Garis sesar ini memisahkan dua kawasan yang berbeza sekali, iaitu tanah tinggi di utara dan barat, dan tanah pamah di selatan dan timur. Kawasan tanah tinggi yang berceranggah merangkumi sebahagian besar tanah pergunungan Scotland, termasuk Ben Nevis, puncak tertinggi di Kepulauan British pada 1,343 meter (4,406 ka) dari paras laut.[114] Kawasan tanah pamah pula lebih rata, terutamanya bahagian seakan pinggang ramping di antara Firth of Clyde dan Firth of Forth yang dikenali sebagai Central Belt, dan di sinilah terletaknya kebanyakan penduduk Scotland, termasuk bandaraya terbesar, Glasgow, dan ibu negeri, Edinburgh.

Wales pula mengisi kurang satu persepuluh daripada jumlah keluasan UK, meliputi 20,779 kilometer persegi (8,020 bt2).[115] Rupa bumi Wales banyak bergunung-ganang, cuma kawasan Wales Selatan kurang gunungnya berbanding Wales Utara dan Tengah. Kawasan kependudukan dan perindustrian utamanya terletak di Wales Selatan, merangkumi bandar pantai Cardiff, Swansea dan Newport, dan juga Lembah Wales Selatan di utara bandar-bandar tersebut. Gunung-gunung tertinggi di Wales terletak di Snowdonia, dan antaranya ialah Snowdon (Bahasa Wales: Yr Wyddfa), puncak tertinggi di Wales dengan ketinggian 1,085 meter (3,560 ka).[107] Terdapat 14 (ataupun 15) buah gunung di Wales yang mencecah aras 3,000 kaki (914 m), oleh itu bersama-sama dikenali sebagai Welsh 3000s. Garis tepi pantai Wales menjangkau 1,200 km (750 batu). Terdapat beberapa pulau berdekatan tanah besar Wales; yang terbesarnya ialah Anglesey (Ynys Môn) di barat laut.

Jumlah keluasan Ireland Utara hanya 14,160 kilometer persegi (5,470 bt2) dan kebanyakan buminya berbukit-bukau. Dalam Ireland Utara terletaknya Lough Neagh, jasad air terbesar di UK dan Ireland pada keluasan 388 kilometer persegi (150 bt2).[116] Puncak tertinggi di Ireland Utara ialah Slieve Donard pada ketinggian 852 meter (2,795 ka) di Pergunungan Mourne.[107]

Iklim

United Kingdom beriklim sederhana dan banyak dicurahi hujan sepanjang tahun.[106] Suhunya berubah-ubah mengikut musim tetapi jarang menyusut ke bawah −10 °C (14 °F) atau melampaui 35 °C (95 °F). Angin lazim datangnya dari barat daya, kerap membawa cuaca yang sederhana dan lembap dari Lautan Atlantik.[106] Bahagian timur paling kering kerana cukup terlindung dari angin ini. Arus Atlantik yang dihangatkan oleh Arus Gulf membawakan musim sejuk yang sederhana, terutamanya di kawasan barat di mana musim sejuknya lembap khususnya di tanah tinggi. Musim panas pula paling panas di bahagian tenggara England yang paling dekat dengan tanah besar Eropah, tetapi paling sejuk di kawasan utara. Salji boleh turun pada musim sejuk dan awal musim bunga, tetapi jarang menjadi tebal sangat di kawasan luar tanah tinggi.