Perlambangan United_Kingdom

Patung Britannia di Plymouth. Britannia merupakan personifikasi negara UK.

Bendera kebangsaan United Kingdom bernama Union Flag (juga digelar Union Jack). Bendera ini tercipta dengan menindih Bendera England, Bendera Scotland dan Bendera St. Patrick pada tahun 1801. Wales tiada lambangnya dalam Union Flag kerana Wales sudah pun ditawan dan diilhakkan dengan England sebelum terbentuknya United Kingdom. Bagaimanapun, kemungkinan mereka semula Union Flag supaya menyertakan lambang Wales masih dipertimbangkan.[275] Lagu kebangsaan United Kingdom ialah “God Save the King” (Tuhan Selamatkan Raja), tetapi “King” (Raja) diganti dengan “Queen” (Ratu) apabila ratu (raja perempuan) menaiki takhta.

Britannia merupakan personifikasi negara United Kingdom, yang berasal dari zaman pemerintahan Rom di Britain.[276] Britannia berbentuk seorang wanita muda berambut perang atau emas, memakai topi besi Corinth dan jubah putih. Dia memegang sebatang trisula Poseidon dan sebuah perisai, yang tertera Union Flag. Adakalanya, dia digambarkan menunggang seekor singa. Sejak kemuncak Empayar British lagi, Britannia sering dikaitkan dengan penguasaan samudera, seperti yang diperdengarkan dalam lagu patriotik “Rule, Britannia!”. Lambang singa dilukiskan di belakang Britannia pada syiling 50 peni British, dan seekor lagi memakai mahkota pada ekor syiling 10 peni British. Singa juga digunakan sebagai lambang pada bendera bukan istiadat Tentera Darat British. Anjing buldog juga dijadikan oleh sesetengah pihak sebagai lambang United Kingdom dan dikaitkan dengan perjuangan Winston Churchill menentang Jerman Nazi.[277]