Sejarah United_Kingdom

Rencana utama: Sejarah United Kingdom
Pertempuran Waterloo menandakan berakhirnya Perang Napoleon dan bangkitnya Pax Britannica.

Pada 1 Mei 1707, United Kingdom of Great Britain terbentuk daripada hasil penyatuan siasah Negara England dan Negara Scotland.[20][21][22][23] Peristiwa ini terbentuk hasil Perjanjian Kesatuan yang dipersetujui pada 22 Jun 1706, kemudian diratifikasi oleh Parlimen England dan Parlimen Scotland yang meluluskan Akta Kesatuan masing-masing pada tahun 1707.[24] Negara-negara England dan Scotland bersama negara Ireland, sudah pun berhubungan peribadi kesan peristiwa Union of the Crowns pada tahun 1603, apabila James VI, Raja Scot mewarisi takhta England dan Ireland lalu memindahkan seluruh pesanggrahannya dari Edinburgh ke London. Namun begitu, ketiga-tiga kerajaan itu kekal sebagai entiti-entiti yang berasingan dan mengekalkan institusi politik masing-masing sehinggalah tahun 1707.[25][26] Hampir seabad kemudian, Kerajaan Ireland bergabung dengan Kerajaan Great Britain untuk membentuk United Kingdom of Great Britain and Ireland setelah lulusnya Akta Kesatuan 1800.[27] Oleh yang demikian, United Kingdom menjadi kesatuan negeri-negeri England, Ireland dan Scotland.[25][26] Pada tahun 1921, Ireland berpecah dari kesatuan itu ekoran pertikaian mengenai syarat-syarat Pemerintahan Sendiri Ireland dalam pulau itu,[28] tetapi sempat menerima taraf Dominion untuk Negara Bebas Ireland pada tahun 1922 sementara Ireland Utara kekal sebagai wilayah UK.[29] Kesannya, pada tahun 1927, gelaran rasmi UK ditukar ke “United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland”.[30]

Pada abad ke-18, United Kingdom memainkan peranan penting untuk membangunkan gagasan sistem berparlimen bergaya Barat di samping memberikan sumbangan besar kepada bidang kesusasteraan, kesenian dan sains.[31] UK menerajui sebuah Revolusi Perindustrian yang mentransformasikan negara serta menggalakkan kebangkitan Empayar British. Ketika ini, UK bersama kuasa-kuasa besar yang lain bergiat dalam eksploitasi penjajahan, termasuk sekali memperdagangkan hamba abdi, namun setelah lulusnya Akta Perdagangan Hamba pada tahun 1807, UK menerajui usaha membasmi gejala pemerdagangan hamba abdi.[32]

Ekoran kekalahan Perancis dalam Perang Revolusi dan Perang Napoleon (1792–1815), UK bangkit sebagai kuasa tentera laut dan ekonomi utama pada abad ke-19 (ketika London menjadi bandaraya terbesar di dunia sekitar tahun 1830–1930)[33] lalu bertahan sebagai kuasa terulung hingga pertengahan abad ke-20.[34] Selain Rusia, Perancis dan Amerika Syarikat (selepas 1917), pihak Britishlah yang menjadi salah sebuah kuasa utama yang melawan Jerman dan sekutu-sekutunya pada Perang Dunia Pertama (1914–18).[35] Atas penglibatannya di seluruh empayar, beberapa kawasan di Eropah serta semakin besar peranannya di Barisan Barat, jumlah anggota tentera British menjangkau lima juta orang.[36]

UK menutup tirai perangnya dengan mengalami kematian dua juta setengah orang dan hutang negara yang menggelembung.[36] Selepas perang, United Kingdom menerima mandat Liga Bangsa-Bangsa di bekas jajahan Jerman dan Uthmaniyyah, maka Empayar British diperluas ke takat terbesarnya, iaitu menjangkau satu perlima permukaan darat sedunia dan satu perempat jumlah penduduknya.[37] Ketika UK masih belum sempat pulih daripada kesan peperangan, ia dilanda pula oleh Kemelesetan Besar (1929–32) yang membawa kesusahan serta pergolakn politik dan sosial.[38]

United Kingdom merupakan salah satu daripada tiga sekutu utama dalam Pihak Bersekutu Perang Dunia I. Berikutan ketumpasan sekutu-sekutunya di Eropah pada tahun pertama perang, United Kingdom meneruskan perjuangan menentang Jerman dalam Pertempuran Britain. Selepas menang akhirnya, UK menjadi salah satu daripada Tiga Kuasa Besar yang bersidang untuk merancangkan dunia pasca perang. Kerana peperangan inilah kewangan United Kingdom teruk terjejas. Namun begitu, Bantuan Marshall dan pinjaman yang dihulurkan oleh Amerika Syarikat dan Kanada membantu proses pemulihan UK.[39]

Wilayah-wilayah yang pernah menganggotai Empayar British. Wilayah Luar Negeri British semasa bergaris bawah merah.

Tahun-tahun selepas perang menyaksikan pelaksanaan dasar Negara Kebajikan yang merangkumi perkhidmatan kesihatan awam yang menyeluruh. Disebabkan kekurangan tenaga kerja, dasar pasca-perang pada mulanya membawa pekerja dari Jerman, Poland dan seluruh Eropah. Namun begitu, Pejabat Kolonial memujuk Kerajaan British supaya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat British di Komanwel, maka terbentuknya bangsa Britain yang berbilang kaum.[40] Sungguhpun Krisis Suez pada tahun 1956 menyekat peranan politik pasca-perang Britain, namun peluasan bahasa Inggeris selama ini menandakan kesinambungan pengaruh sastera dan budayanya, apatah lagi budaya popularnya yang tersebar ke seluruh dunia sejak 1960-an lagi. Berikutan sezaman kelembapan ekonomi sedunia dan persengketaan industri pada 1970-an, UK menerima aliran masuk yang lumayan hasil minyak Laut Utara pada tahun 1984 lalu kembali makmur ekonominya.[41]

Ketidaksamaan antara kelompok Protestan dan Katolik di Ireland Utara, ditambah pula dengan kebimbangan oleh para penyokong kesatuan bahawa seluruh pulau Ireland dituntut oleh Republik Ireland, mencetuskan keganasan pada tahun 1966.[42][43] Kedua-dua pihak turut menubuhkan pasukan separa tentera, dan selepas berlakunya rusuhan di Derry pada tahun 1969, Tentera Darat British dihantar ke situ untuk mengawal keadaan.[44] Pada 24 Mac 1972, Parlimen Ireland Utara digantung, dan digantikan oleh Pemerintahan Langsung dari London.[45] Akhirnya, Persetujuan UK-Ireland ditandatangani pada November 1985, yang mana Republik Ireland mengiktiraf pemerintahan United Kingdom di Ireland Utara, asalkan boleh bersuara tentang tadbir urus di situ.[46] Setelah melalui rundingan, akhirnya pada tahun 1998 tercapainya Perjanjian Good Friday antara United Kingdom dan Republik Ireland yang mencerminkan penyelesaian damai yang disokong oleh kebanyakan besar parti politik utama. Perjanjian ini diluluskan oleh pungutan suara di kedua-dua belah Ireland, lalut membentuk sebuah Dewan Undangan Ireland Utara yang baru serta jawatan eksekutif yang berkongsi kuasa. Perlembagaan Republik dipinda untuk menggantikan tuntutannya terhadap wilayah Ireland Utara sambil mengakui hasrat nasionalis demi Ireland yang bersatu. Tentera Republikan Ireland dan banyak lagi pertubuhan bersenjata mengakhiri kegiatan mereka dan menghapuskan persenjataan mereka.

United Kingdom menjadi salah satu daripada 12 negara pengasas Kesatuan Eropah sewaktu pelancarannya pada tahun 1992 setelah ditandatanganinya Perjanjian Maastricht. Sebelum itu, UK pernah menganggotai pendahulu EU, iaitu Komuniti Ekonomi Eropah (EEC), sejak tahun 1973. UK mengakhiri abad ke-20 dengan membuat perubahan besar dalam tadbir urus negara dengan menubuhkan pentadbiran negeri yang didevolusikan kepada Ireland Utara, Scotland, dan Wales ekoran pungutan suara pra-perundangan.[47]