Vaishnavisme

Vaishnavisme adalah suatu mazhab agama Hindu yang menyembah Maha Vishnu sebagai Tuhan Maha Esa. Sistem ini juga dikenali sebagai Bhagavatamata. Proses penyusunan agama Vaishnavisme ini secara sistematik nampaknya bermula dengan bahagian Narayaniya dalam epik Mahabharata (Santi Parva, Bab-bab 334-351). Sumber-sumber asal lain ialah Bhagavad Gita, Vishnu Purana, Bhagavata, Pancaratra, Vaikhanasa Agamas serta Narada Bhakti Sutras dan Sandilya Bhakti Sutra. Suatu perkembangan penting dalam evolusi Vaishnavisme perlu diberikan perhatian. Meskipun Sri Krishna disenaraikan sebagai Avatara kesembilan Dasavatara (Sepuluh Avatara Maha Vishnu), secara beransur-ansur, Sri Krishna telah mendahului semua Avatara lain dan menjadi sama dengan Vishnu-Narayana. Maka, Dasavatara juga disebut sebagai Avatara Sri Krishna. Demikian, kultus Sri Krishna bersatu dengan Bhagavatamata. Oleh kerana, Sri Krishna atau Krishna-Vasudeva berasal daripada puak Satvata dalam bangsa Yadu, agama ini juga dikenali sebagai Satvatamata.