Vedanga Veda

Disebabkan bahasa Sanksrit Veda adalah amat kuno dan penuh dengan pelbagai sistem ritual dan korban yang rumit adalah sukar untuk memahami Veda. Oleh itu, sejak zaman purba lagi, enam Vedanga telah dihasilkan untuk memudahkan pemahaman dan pemakaian Veda.

Perkataan 'anga' secara literal bermaksud 'anggota'. Dalam konteks tnikal pula, ia bermaksud suatu bidang ilmu subsidiari yang membantu memahami bidang ilmu induk. Maka, Vedanga bermaksud suatu sains subsidiari yang membantu kita memahami Veda.[38]

Terdapat enam sistem dalam Vedanga iaitu Siksha, Chandra, Vyakarana, Nirukta, Jyotisa, dan Kalpa. Sistem-sistem ini berasal daripada Veda sendiri. Hubungan Vedanga dan Veda boleh dibandingkan dengan hubungan antara badan dan anggota-anggotanya. Chandra adalah dua kaki Vedapurusha (Veda sebagai manusia); Kalpa adalah kedua-dua tangan; Jyotisha adalah mata; Nirukta ialah pasangan telinga; Siksha ialah hidung; dan Vyakarana ialah mulut.[39]

Rumusan enam Vedanga, ialah seperti berikut:

  • Siksha - Ini adalah mengenai fonetik atau gaya bacaan Veda, asal-usul abjad, sifat-sifat seorang pembaca yang baik dan buruk, dan kesilapan lazim dalam bacaan.
  • Chanda - Prosodi atau irama puisi Vedik
  • Vyakarana - Ini adalah tatabahasa Veda tetapi tidak terhad kepada tatabahasa sahaja. Penggunaan perkataan-perkataan yang sempurna diutamakan kerana Dharma boleh dicapai dengan penggunaan Sabda yang betul. Maka, Vyakarana penuh dengan falsafah dan oleh itu ia juga telah mendapat status Darsanam.
  • Nirukta - Etimologi atau maksud dan penjelasan perkataan-perkataan.
  • Jyotisa - Astronomi atau kiraan masa dan waktu yang sesuai untuk melakukan ritual Veda. Ini juga menjadi sains yang mengaji bintang dan planet. Ia mempunyai tiga cabang:
    • Muhūrtaskandha - berhubung penetapan masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti yajna Vedik.
    • Jātakaskandha - sains pengajian astronomi dan ramalan berkaitan dengan peredaran bintang dan planet.
    • Siddhāntaskandha - berhubung penyediaan kalendar
  • Kalpa - Segala aspek praktikal upacara sembahyang dan ritual-ritual korban. Terdapat empat bahagian Kalpa:
    • Śrautasūtram: Berhubung dengan ritual Yāgas
    • Gṛhyasūtram: Berhubung dengan saṃskāras (ritual penyucian seperti Vivāha – perkahwinan)
    • Śulbasūtram: Kiraan untuk pembinaan pondok, tempat sembahyang
    • Dharmasūtram: Pelbagai aspek kebudayaan Vedik, sama ada sekular atau rohani, yang membincangkan Dharma