Politik Vietnam

Rencana utama: Politik Vietnam
Istana Presiden di Hanoi, dahulunya Istana Gabenor-Jeneral Indochina Perancis.

Republik Sosialis Vietnam, bersama-sama dengan China, Cuba, dan Laos, adalah salah satu daripada empat buah negara sosialis satu parti yang mendukung komunisme secara rasmi. Perlembagaan negara semasa iaitu Perlembagaan 2013 menegaskan peranan pusat Parti Komunis Vietnam dalam semua organ politik dan masyarakat. Setiausaha Agung Parti Komunis melakukan banyak fungsi utama pentadbiran dalam mengawal organisasi nasional parti. Presiden menjalankan tugas-tugas eksekutif dan pelantikan negeri, serta menggubal dasar. Hanya organisasi politik yang menjadi sekutu atau sokongan Parti Komunis dibenarkan untuk menyertai pilihan raya di Vietnam. Ini termasuk Barisan Tanah Air Vietnam dan parti-parti pekerja dan kesatuan sekerja. Walaupun negara masih komited mendukung sosialisme sebagai fahaman asasnya, namun dasar ekonominya makin hari makin kapitalis,[23] malah majalah The Economist memerikan kepimpinan Vietnam sebagai "komunis yang kapitalis".[24]

Perundangan

Dewan Undangan Negara Vietnam adalah badan perundangan negara yang ekadewan, terdiri daripada 498 ahli[25] dan terbuka untuk semua pihak. Diketuai oleh Pengerusi, ia mengungguli kedua-dua cabang eksekutif dan kehakiman, dengan semua kerajaan menteri dilantik dari kalangan ahli Dewan Undangan Negara.

Eksekutif

Presiden Vietnam merupakan ketua negara yang terpilih sementera panglima tertinggi tentera yang berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Pertahanan dan Keselamatan Agung memegang jawatan kedua tertinggi di Vietnam. Perdana Menteri Vietnam merupakan ketua kerajaan yang memimpin sebuah jemaah menteri yang terdiri dari lima orang timbalan perdana menteri dan 26 orang ketua kementerian dan suruhanjaya.

Kehakiman

Mahkamah Rakyat Agung Vietnam yang diketuai oleh seorang Ketua Hakim merupakan mahkamah rayuan tertinggi negara, namun ia juga bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negara Vietnam. Di bawah Mahkamah Rakyat Agung terdapat mahkamah-mahkamah wilayah dan banyak mahkamah tempatan. Mahkamah tentera mempunyai bidang kuasa khas dalam hal-hal keselamatan negara. Vietnam mengekalkan hukuman mati bagi banyak kesalahan; setakat Februari 2014, ada sekitar 700 orang banduan yang menunggu hukuman mati di Vietnam.[26]

Hubungan luar

Setiausaha Negara AS Rex Tillerson menemani Presiden AS Donald Trump ke upacara menandatangani urus janji perdagangan bersama Presiden Vietnam Tran Dai Quang di Istana Presiden di Hanoi pada 12 November 2017.Presiden Vietnam Trần Đại Quang bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, 19 November 2016

Sepanjang sejarahnya, hubungan luar utama Vietnam adalah bersama jiran terbesar dan bekas penjajah, China. Prinsip-prinsip kedaulatan Vietnam dan desakannya ke atas kemerdekaan budaya telah diterapkan dalam berbilang dokumen selama berabad-abad, seperti puisi patriotik abad ke-11, Nam quốc sơn hà (Gunung sungai negara selatan), dan perisytiharan kemerdekaan Bình Ngô đại cáo pada 1428. Walaupun China dan Vietnam sekarang damai, namun masih berlaku pertikaian wilayah yang berat antara kedua-dua pihak di Laut Cina Selatan.[27]

Kini, penyata misi rasmi dasar luar Vietnam ialah: "Konsisten melaksanakan dasar luar negara mengenai kemerdekaan, keamanan, kerjasama dan pembangunan; dasar luar mengenai keterbukaan dan kepelbagaian dan kemultilateralan hubungan antarabangsa. Proaktif dan aktif melibatkan diri dalam integrasi ekonomi antarabangsa sambil mengembangkan kerjasama antarabangsa dalam bidang-bidang lain." Tambahan pula Vietnam menganggap dirinya sebagai "sahabat dan rakan yang boleh diharap oleh semua negara dalam masyarakat antarabangsa, aktif melibatkan diri dalam proses-proses kerjasama antarabangsa dan serantau."[28]

Vietnam mengambil langkah-langkah penting untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan negara-negara penting, bermula dengan New Zealand yang membuka kedutaan di Hanoi pada 1995, sementara Vietnam menubuhkan kedutaan di Wellington pada 2003. Pakistan membuka semula kedutaan di Hanoi pada Oktober 2000, dan Vietnam membalas budi dengan membuka kedutaan Islamabad di Disember 2005 serta biro perdagangan di Karachi pada November 2005. Hubungan Amerika Syarikat–Vietnam meningkat pada Ogos 1995 apabila kedua-dua bangsa menaiktaraf Pejabat Perhubungan masing-masing yang dibuka pada Januari 1995 kepada status kedutaan. Sejajar dengan bertambah eratnya hubungan ini, AS membuka konsulat am di Bandaraya Ho Chi Minh sementara Vietnam membuka konsulat di San Francisco.

Menjelang Disember 2007, Vietnam menjalin hubungan diplomatik dengan 172 buah negara, termasuk AS yang menormalkan hubungan pada 1995.[29][30] Vietnam menjadi ahli dalam 63 buah pertubuhan antarabangsa termasuk PBB, ASEAN, NAM, Francophonie dan WTO. Ia juga menjalin hubungan dengan lebih 650 buah pertubuhan bukan kerajaan.[31]

Tentera

Askar Vietnam di atas wilayah dipertikai Kepulauan Spratly pada 2009.

Angkatan Bersenjata Rakyat Vietnam terdiri daripada Tentera Rakyat Vietnam, Keselamatan Awam Rakyat Vietnam dan Angkatan Pertahanan Awam Vietnam. Tentera Rakyat Vietnam adalah nama rasmi bagi bala tentera aktif Vietnam, terdiri daripada Tentera Darat Rakyat Vietnam, Tentera Laut Rakyat Vietnam, Tentera Udara Rakyat Vietnam, Angkatan Pertahanan Sempadan Vietnam dan Pengawal Pantai Vietnam. Tentera Rakyat Vietnam mempunyai tenaga kerja aktif sekitar 450,000 orang, tetapi jumlah kekuatannya, termasuk angkatan paramilitari, mungkin setinggi 5,000,000 orang.[32] Pada 2011, perbelanjaan ketenteraan Vietnam berjumlah kira-kira AS$2.48 bilion, bersamaan dengan sekitar 2.5% dari KDNK tahun 2010.[33]

Pembahagian pentadbiran

Vietnam terbahagi kepada 58 wilayah (bahasa Vietnam: tỉnh, dari bahasa Cina , shěng).[34] Juga ada lima kawasan perbandaran (thành phố trực thuộc trung ương) yang ditadbir sama taraf dengan wilayah.

Peta boleh klik tentang Vietnam memaparkan 58 wilayah dan lima kawasan perbandaran diperintah pusat.
Delta Sungai Merah
Timur Laut
Barat Laut
Pantai Tengah Utara
Tanah Tinggi Tengah
Pantai Tengah Selatan
Tenggara
Delta Mekong

Setiap wilayah terbahagi kepada perbandaran wilayah (thành phố trực thuộc tỉnh), perpekanan (thị xã) dan daerah (huyện), kemudian terbahagi lagi kepada pekan (thị trấn) atau komun (xã). Perbandaran yang terkawal pusat terbahagi kepada jajahan (quận) dan daerah, dan terbahagi lagi kepada zon (phường).

Rujukan

WikiPedia: Vietnam http://www.smh.com.au/travel/vietnam-to-build-high... http://www.stopusa.be/scripts/texte.php?section=CL... http://www.angelfire.com/vt/vietnamesemuslims/hstr... http://www.asianartmall.com/vietnamhistory.htm http://www.businessinsider.com/willem-buiter-3g-co... http://www.bvom.com/resource/vn_history.asp?pConte... http://www.economist.com/specialreports/displaysto... http://www.etravelblackboardasia.com/article.asp?i... http://www.indexmundi.com/vietnam/geography_profil... http://www.indexmundi.com/vietnam/waterways.html