Sejarah Vietnam

Rencana utama: Sejarah Vietnam

Sejarah bertulis Vietnam bermula seawal abad ke-3 SM apabila ditubuhkannya negeri-negeri Âu Lạc dan Nanyue (Nam Việt dalam bahasa Vietnam); Nanyue menakluki Âu Lạc pada 179 SM).[17] Di Vietnam prasejarah letaknya antara tamadun dan masyarakat terawal dunia, oleh itu di sinilah bertempatnya antara manusia terawal yang mengamalkan pertanian.[18][19] Lembah Sungai Merah membentuk sebuah unit geografi dan ekonomi semula jadi yang dikepung oleh gunung-ganang dan hutan belantara di utara dan barat, lautan di timur dan Delta Sungai Merah di selatan. Menurut mitos, negeri pertama Vietnam ditubuhkan pada 2879 SM,[20][21][22] tetapi kajian arkeologi mengusulkan perkembangan ke arah pemerintahan penghulu pada kebudayaan Đông Sơn pada akhir Zaman Gangsa.

Keistimewaan geografi Vietnam menjadikannya sukar diserang, oleh itu Vietnam di bawah raja-raja Hùng begitu kekal lama sebagai negara merdeka yang lengkap. Sungguhpun demikian, pernah sekali Vietnam jatuh ke tangan sebuah kuasa asing malah sukar melepaskan diri selama 1,100 tahun daripada cengkaman dinasti Cina berturut-turut, iaitu Han, Wu Timur, Jin, Liu Song, Qi Selatan, Liang, Sui, Tang, dan Han Selatan; menyebabkan lenturnya warisan budaya, bahasa, dan jati diri bangsa. Ada kala-kalanya dalam 1,100 tahun ini, Vietnam diperintah secara bebas di bawah wangsa Triệu, Trưng Bersaudari, Lý Awal, Khúc dan Dương Đình Nghệ—namun semua kejayaan masing-masing sementara sahaja.

Sewaktu Cina mendominasi Vietnam Utara, adanya tamadun-tamadun yang mekar di wilayah-wilayah yang kini Vietnam tengah dan selatan, khususnya Funan dan Cham, tetapi pengasas dan pemerintah masing-masing bukanlah orang asli Vietnam. Mulai abad ke-10, orang Vietnam yang maju dari nusa teras Delta Sungai Merah mula menakluki tamadun-tamadun tersebut.

Ketika kedaulatan negara dipulihkan oleh Ngô Quyền (Raja Vietnam, 939–944), sealaf yang berikutnya dimajukan oleh dinasti berturut-turut, mulai wangsa Ngô, Đinh, Lê Awal, , Trần, Hồ, Trần Akhir, Lê Akhir, Mạc, Trịnh, Nguyễn, Tây Sơn dan sekali lagi Nguyễn. Ada kala-kalanya sewaktu pemerintahan maharaja inilah Vietnam terjejas dan terpecah-belah oleh perang saudara serta menyaksikan campur tangan oleh wangsa-wangsa Song, Yuan Mongol, Cham, Ming, Siam, Manchu dan Perancis.

Empayar Ming menawan lembah Sungai Merah buat seketika sebelum orang pribumi Vietnam merampas kembali, kemudian Perancis menjinakkan Vietnam sebagai wilayah naungan selama hampir seabad, diikuti pendudukan sementara oleh Empayar Jepun. Pergolakan politik dan kebangkitan komunis menamatkan pemerintahan beraja selepas Perang Dunia Kedua, maka Vietnam diisytiharkan sebagai republik. Vietnam selepas merdeka terbahagi kepada dua, iaitu Vietnam Utara pimpinan komunis Ho Chi Minh dan Vietnam Selatan yang kapitalis dan sekutu rapat Amerika Syarikat sempena Perang Dingin. Pada 1960-an meletusnya perang saudara antara kedua-dua Vietnam, berkesudahan dengan kemenangan pihak Utara dan bersatunya semula negara di bawah pemerintahan Parti Komunis.

Rujukan

WikiPedia: Vietnam http://www.smh.com.au/travel/vietnam-to-build-high... http://www.stopusa.be/scripts/texte.php?section=CL... http://www.angelfire.com/vt/vietnamesemuslims/hstr... http://www.asianartmall.com/vietnamhistory.htm http://www.businessinsider.com/willem-buiter-3g-co... http://www.bvom.com/resource/vn_history.asp?pConte... http://www.economist.com/specialreports/displaysto... http://www.etravelblackboardasia.com/article.asp?i... http://www.indexmundi.com/vietnam/geography_profil... http://www.indexmundi.com/vietnam/waterways.html