Walt Disney Imagineering (juga dikenali sebagai
WDI atau cuma
Imagineering) adalah pasukan reka bentuk dan pembangunan
syarikat Walt Disney yang bertanggungjawab atas penciptaan dan pembinaan
taman tema Disney sedunia. WDI diasaskan oleh
Walt Disney pada tahun 1952 dengan nama asal
WED Enterprises (sempena nama penuhnya, Walter Elias Disney) untuk menyelia penghasilan
Disneyland Park.
[1]Istilah Imagineering berasal dari gabungan perkataan imagination (imaginasi) dan engineering (kejuruteraan), yang melambangkan kemahiran yang dimiliki oleh para kakitangan WDI. Kakitangan yang dikenali sebagai
Imagineers ini terkenal kerana kebolehan mereka mengadun daya cipta, kepakaran dan kemajuan teknologi seperti
Audio-Animatronics untuk menghasilkan "penceritaan berasaskan pengalaman yang tersendiri" (distinctive experiential storytelling).
[2]Imagineering bertanggungjawab mereka cipta dan membina taman tema, tempat peranginan, kapal persiaran dan tempat-tempat hiburan lain untuk Disney di semua peringkat pembangunan projek. Imagineers memiliki bermacam-macam kemahiran dan bakat, maka lebih 140 gelaran pekerjaan tergolong dalam bidang kuasa Imagineering, termasuk pengilustrasi, jurubina, jurutera, pereka pencahayaan, penulis lakon pentas, pereka grafik, dan ramai lagi.
[1] Kebanyakan Imagineers bertugas dari ibu pejabat syarikat di
Glendale, California, tetapi selalu diaturkan ke cawangan-cawangan satelit di dalam taman tema untuk jangka masa yang lama.