Wangsa_Chola
Wangsa_Chola

Wangsa_Chola

Wangsa Chola atau Dinasti Chola (Bahasa Tamil: சோழர் குலம், IPA: ['ʧoːɻə]) ialah sebuah dinasti Tamil Dravidia yang memerintah wilayah di India Selatan sehingga abad ke-13 Masihi. Dinasti tersebut berasal dari lembah subur Sungai Kaveri. Karikala Chola merupakan salah satu raja yang termashyur dari zaman awal Chola, sementara Aditya I, Parantaka I, Rajaraja Chola I, Rajendra Chola I, Rajadhiraja Chola, Rajendra Chola II, Virarajendra Chola, Kulothunga Chola I, Vikrama Chola dan Kulothunga Chola III pula merupakan antara maharaja-maharaja yang terkenal semasa zaman pertengahan Chola.Kerajaan Chola mencapai kemuncak kuasa mereka pada abad ke-10, ke-11, dan ke-12. Raja-raja Chola menawan semenanjung India Selatan, mengilhakkan sebahagian Sri Lanka, dan menduduki kepulauan Maldives. Dengan itu, wilayah Chola merentang dari tebing Sungai Godavari di Andhra Pradesh di utara sehingga kepulauan Maldives di selatan. Di bawah Rajaraja Chola I dan puteranya, Rajendra Chola, wangsa itu menjadi sebuah kuasa ketenteraan, ekonomi, dan kebudayaan yang hebat di Asia Utara. Rajendra Chola menghantar sebuah ekspedisi yang berjaya ke India Utara sehingga Sungai Ganges lalu menewaskan raja Empayar Pala dari Pataliputra di Mahipala. Baginda juga menyerang dan menaklukkan kerajaan-kerajaan di Nusantara Melayu. Bagaimanapun, kuasa Wangsa Chola kemudian merosot pada kira-kira abad ke-14 dengan kebangkitan Dinasti Pandya dan Empayar Hoysala. Wangsa Chola telah meninggalkan suatu pusaka yang abadi. Naungan mereka terhadap kesusasteraan Tamil dan semangat mereka terhadap pembinaan kuil telah menghasilkan karya-karya yang hebat dalam kesusasteraan dan seni bina Tamil. Raja-raja Chola merupakan pembina yang gemar akan kuil dan melihatkan kuil-kuil di dalam kerajaan mereka bukan hanya sebagai tempat beribadah malah juga sebagi pusat kegiatan ekonomi. Mereka juga mempelopori sebuah sistem kerajaan terpusat serta mengasaskan sebuah birokrasi yang teratur.