Sejarah Xi'an

Rencana utama: Sejarah Xi'an
Tengkorak yang dijumpai di Banpo, kini disimpan di Muzium Banpo Xi'an.

Prasejarah

Beberapa penemuan artifak prasejarah wujud di Xi'an. Orang Lantian yang dianggarkan berusia 500 ribu tahun dauhlu ditemui pada 1963. Sebuah tinggalan kampung zaman Neolitik, Banpo dijumpai pada 1953 dan dianggarkan berusia kira-kira 6,500 tahun. Kawasan kampung purba itu kini dijadikan sebagai muzium.

Zaman dinasti

Ketika zaman dinasti Zhou Barat, ibu kota dinasti ini, Zhōngzhōu ditubuhkan di kawasan barat daya Xi'an. Pada 770 SM, ibu kota dipindahkan ke Luoyang akibat situasi dinasti yang tidak aman.

Setelah China disatukan dalam dinasti Qin, Xianyang, kini di barat laut Xi'an dijadijan sebagai ibu kota.[5] Qin Shi Huang, maharaja pertama China mengarahkan pembinaan Tentera Terracotta serta makamnya di timur Xi'an sejurus selepas baginda menaiki takhta.[6]

Pada zaman dinasti Han, maharaja pertama dinasti, Liu Bang, menetapkan ibu kota dinasti di Chang'an pada 202 SM. Baginda membina Istana Changle dan dua tahun kemudian, membina Istana Weiyang yang berkeluasan 4.8 kilometer persegi.[7] Tembok bandar Xi'an mula dibina pada 194 SM dan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

Peta Chang'an ketika zaman dinasti Tang.

Pada 582 M, dinasti Sui berjaya menyatukan China selepas China mengalami huru-hara selama beberapa abad. Maharaja Sui mengarahkan pembinaan Daxing, ibu kota dinasti di tenggara kawasan ibu kota Han. Daxing terdiri daripada tiga kawasan, bandar imperial, kawasan istana dan kawasan orang awam. Pada masa ini, Daxing ialah bandar terbesar dunia dengan keluasan 84 km2 di dalam tembok bandar. Pada zaman dinasti Tang, bandar ini dinamakan semula sebagai Chang'an.[8]

Peristiwa Pemberontakan An Lushan menyebabkan Chang'an ditawan pada tahun 756, menyebabkan kebanyakan penduduk melarikan diri dari Chang'an dan selepas pemberontakan, sistem birokrasi Chang'an menjadi lemah.[9] Pada akhir dinasti Tang, pihak pemberontak Huang Chao menjatuhkan Chang'an pada tahun 880, menyebabkan kebanyakan kawasan Chang'an musnah. 25 tahun kemudian, serangan oleh pihak Zhu Quanchong menyebabkan ibu kota China dipindahkan ke Luoyang.[10]

Ketika dinasti Ming, sebuah tembok baharu telah dibina pada 1370, dan merupakan tembok yang kekal hingga kini. Selain itu, sebuah parit juga dibina di bahagian luar tembok.

Zaman moden

Semasa Revolusi Xinhai paad Oktober 1911, para pendukung revolusi menyerang kubu Manchu di Xi'an, menyebabkan kira-kira 20,000 orang Manchu terkorban lalu melenyapkan penduduk Manchu di Xi'an.

Pada 1928, pihak Kuomintang menetapkan sempadan Chang'an dan Chengguan dan menubuhkan bandar Xi'an moden. Dua tahun kemudian, nama bandar ini ditukar kepada Xijing. Pada 1936, berlakunya Insiden Xi'an ketika Perang Saudara China yang membawa kepada kerjasama sementara antara Kuomintang dan Parti Komunis China untuk menumpukan perhatian kepada serangan Jepun di China.[11] Pada 20 Mei 1949, pihak Tentera Pembebasan Rakyat menawan Xi'an daripada kuasa Kuomintang.[12] Pada 25 Mei, Kerajaan Rakyat Xi'an ditubuhkan dan Tuofu Jia dilantik sebagai ketua bandar Xi'an pertama.[13]