Yajur_Veda

Yajurveda (Sanskrit: यजुर्वेद, yajurveda, dari yajus bermaksud "mantera prosa") ialah Veda kedua dalam himpunan kitab-kitab suci Hinduisme. Yajur Veda dikatakan telah wujud dari muka Brahma (Pencipta) yang menghadap selatan.[1] Veda Vyasa telah memberikan Yajur Veda kepada Vaisampayana. Veda ini juga dikenali sebagai Adhvaryu Veda kerana peranan utamanya adalah dalam upacara korban Vedik, dan adhvaryu ialah ketua sami yang menjalankan upacara itu. Ayat-ayat suci Veda ini dikenali sebagai Yajus dan ia berbentuk prosa.Terdapat dua bahagian utama Veda ini, yakni, Krishna Yajur Veda dan Sukla Yajur Veda. Bahasa dalam Veda ini hampir sama dengan bahasa dalam Rig Veda. Veda ini memberikan huraian terperinci tentang pelbagai upacara korban Vedik seperti Darsapurnamasa, Asvamedha, Rajasuya, Sautramani, Vajapeya dan beberapa Somayaga. Kebanyakan dewa-dewi Rig Veda juga masih wujud dalam Veda ini. Namun, beberapa Dewa seperti Rudra telah menjadi lebih penting dan beberapa Dewa lain seperti Usas telah hilang keutamaan mereka. Masyarakat dalam Veda ini juga hampir sama dengan masyarakat pada zaman Rig Veda. Sistem varna telah menjadi kukuh. Falsafah dalam Veda ini adalah sama seperti dalam Upanishad-Upanishadnya. Bhakti atau cinta-Ilahi telah menjadi suatu unsur penting.