Kerjaya Yana_Samsudin

Televisyen

Kerjaya televisyen Yana bermula pada 2008 dengan menjayakan peranan utama sebagai Lu’lu dalam telefilem Lu’lu lakonan bersama Farid Kamil.

Drama pertama lakonan Yana ialah 3 Janda[9] terbitan MIG Productions arahan Joeza Rashidi (kini telah meninggal dunia), yang mana beliau memegang watak sebagai Suria Zambri yang merupakan seorang yang manja, liar dan nakal, suka bergaya lebih, suka barang berjenama dan boros.[10] Drama yang bersiaran di Astro Prima turut dibintangi oleh Rozita Che Wan dan Lisa Surihani.[10] Drama ini juga memerlukan beliau memakai rambut palsu.[10]

Beliau kemudiannya, memegang watak utama sebagai Siti Ratna drama slot Lagenda TV3 dan TV9, Siti Kelembai yang telah meraih rating tertinggi 2.5 juta penonton di TV9. Drama bersiri 20 episod arahan Bob Hashim Ismail terbitan MIG Productions mengolah semula cerita rakyat, Sang Kelembai kepada Siti Kelembai versi moden yang berkisar tentang Siti Ratna, anak perempuan tunggal kepada Alang Saidi dan Siti Mayang Sari yang sangat kuat berkhayal dan berimaginasi di dalam kelas.[11]

Pada tahun 2012, Yana berlakon dalam siri drama aksi komedi Bini-Bini Perkasa bersama Intan Ladyana dan Fezrul Khan yang mana beliau memegang watak Manja, watak lakonannya dalam filem Bini-Biniku Gangster.[12][13]

Pada tahun 2013, Yana juga melakonkan watak sebagai Wawa, seorang gadis kampung yang menderhakai ibunya dalam episod pertama drama Tanah Kubur musim keenam arahan Rashid Sibir, bersama pelakon veteran Wan Maimunah. Seterusnya, berlakon dalam drama Dia Suamiku juga arahan Rashid. Beliau digandingkan bersama penyanyi, Afiq Hakim Ahmad menerusi telefilem Abang Long vs Kak Yong yang disiarkan di TV3 sempena Hari Raya Aidilfitri.

Beliau seterusnya berlakon dalam drama Suamiku Jururawat, Isteriku Doktor yang berdasarkan daripada telefilem Suamiku Jururawat, bersama penyanyi Tomok yang bersiaran di TV3 mulai 23 Februari 2014.[14][15]

Sebagai pengacara televisyen, Yana telah mengacarakan beberapa rancangan TV termasuk Juara Joran[16] di Astro Mustika HD, rancangan pencarian bakat Qu Puteh Bintang Mencari Bintang[17] dan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015[18] di TV3 bersama penyampai radio AG dan rancangan masakan Lesung Pipit di Astro Prima.

Beliau kembali digandingkan bersama Farid Kamil dalam siri drama Qanun 99 di Astro Oasis.[19][20][21][22][23]

Filem

Bersama trofi Pelakon Filem Wanita Popular di ABPBH 2012.

Kerjaya Yana di layar lebar bermula pada 2003 apabila beliau melakonkan peranan pembantu dalam filem komedi arahan Prof. Madya Abdul Razak Mohaideen, Mami Jarum Junior terbitan Metrowealth Movies Production.[7]

Pada 2008, beliau mula menduduki kerusi pengarah menerusi filem cetera sulung arahannya, Selamat Pagi Cinta[24] yang mana beliau turut menulis skrip filem ini,[7] ketika itu beliau menggunakan nama sebenar, Norliana Samsudin. Filem bergenre percintaan lakonan Nur Fazura, Sharifah Amani, Que Haidar dan Pierre Andre ini ditayangkan pada 20 November 2008. Ia merupakan satu-satunya filem yang diarahkan oleh beliau, menjadikan Yana pengarah wanita pertama di Malaysia. Yana juga dipilih oleh David Teo sebagai salah seorang pengarah muda didalam Skim 10 Pengarah Muda MIG.[7]

Pada tahun yang sama, beliau diberikan watak utama sebagai seorang pelajar baru asrama bernama Zeta dalam filem seram suspens arahan James Lee, Histeria terbitan Tayangan Unggul yang dibintangi oleh Liyana Jasmay, Scha Al-Yahya, Norisz Ali dan Ainul Aishah. Filem ini menandakan kali pertama Yana berlakon dalam filem terbitan syarikat penerbitan lain.

Pada tahun 2010, beliau bersama Shaheizy Sam membintangi filem aksi komedi arahan Ahmad Idham, Adnan Sempit yang mana beliau melakonkan watak sebagai Wawa, pembantu peribadi Nadia lakonan Intan Ladyana. Filem ini ditayangkan kepada umum pada 14 Januari 2010 menjadi filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman, dengan jumlah hasilnya pada takat RM7.66 juta, sepanjang tempoh tayangan awal di pawagam. Kejayaan filem ini melayakkan Yana memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 sekaligus membawa kepada penghasilan tiga filem susulannya — Adnan Sempit 2 (2012),[25] Adnan Sempit 3 (2013) dan Adnan Sempit Sawadikap (2014)[26] [27] di bawah arahan Ismail "Bob" Hasim. Berikutan kejayaan filem pertama, Yana kembali memegang watak Wawa dalam ketiga-tiga filem sambungan dari Adnan Sempit.

Selepas Adnan Sempit, beliau sekali lagi bekerja di bawah arahan Idham menerusi filem Aku Masih Dara yang ditayangkan pada 16 Disember 2010 di mana beliau melakonkan watak utama sebagai Aleesya, bersama Raja Farah dan Diana Amir. Filem yang mengetengahkan isu kerosakkan akhlak di kalangan remaja dan mengupas ragam kehidupan gadis-gadis zaman sekarang yang bebas dewasa tanpa bimbingan ibubapa yang terlalu sibuk mencari wang bagi menyara kehidupan turut dibintangi oleh Farid Kamil dan Ashraf Muslim.

Pada tahun 2011, beliau bekerja di bawah arahan Farid Kamil buat kali pertama dan sekali lagi bergandingan bersama Shaheizy Sam yang melakonkan watak Tumulak menerusi filem Kongsi, dalam filem ini, Yana melakonkan watak Inspektor Olla. Filem beliau seterusnya, Bini-Biniku Gangster arahan Ismail Bob Hasim menyusul di pawagam, sekali lagi menemukan beliau bersama Sam dan Intan Ladyana. Beliau melakonkan watak sebagai Manja, seorang isteri dan suri rumah yang baik, tetapi mempunyai identitinya sebagai seorang ketua kumpulan gangster dan terpaksa merahsiakan identitinya daripada suaminya, Harry (Shaheizy Sam).

Pada tahun 2012, beliau sekali lagi berpasangan dengan Sam menerusi filem bertemakan K-Pop, Aku Ada, Kau Ada???[28] arahan Rahila Ali terbitan Pencil Pictures,[28] yang mana hampir 90 peratus penggambarannya dijalankan di Korea Selatan dan melibatkan tempat-tempat menarik seperti bandar Seoul dan Pulau Jeju.[28] Dalam filem yang ditayangkan pada 24 Mei 2012 ini, beliau memegang watak sebagai Tina.[28][29] Beliau bersama Sam melakonkan watak utama sebagai Julia dan Alang dalam filem aksi arahan Ahmad Idham, 8 Jam yang ditayangkan pada 5 Julai, filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton dan menerima ulasan positif dari pengulas filem, malah ia meraih kutipan sebanyak RM2.30 juta.

Pada tahun yang sama, beliau berlakon dalam filem komedi romantik Strawberi Cinta[30] arahan Ahmad Rusli Khadri yang mana beliau memegang watak sebagai seorang gadis Jepun yang bernama Ichigo Yamada yang berasal dari Jepun,[30] telah terpisah dengan ibu kandungnya, Rozita (dilakonkan oleh Dian P. Ramlee), sejak berusia enam tahun,[30] filem yang menggandingkan beliau bersama Pierre Andre juga memerlukan Yana untuk mempelajari bahasa Jepun.[30][31]

Pada tahun 2013, Yana melakonkan watak Wawa dalam terbitan turunan filem Adnan Sempit, Wawa Semput yang berkisarkan tentang Wawa yang kecewa dengan sikap Bobby (dilakonkan oleh Along Cham) yang kembali merempit mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halamannya. Filem ini ditayangkan pada 31 Januari 2013 merupakan kegagalan komersial, hanya sekadar memeproleh kutipan sebanyak RM1.48 juta.[32][33]

Beliau sekali lagi digandingkan bersama Pierre Andre menerusi filem 3 Temujanji arahan Hashim Rejab[34] dan seterusnya, berlakon di bawah arahan Pierre menerusi filem Cerita Kita bersama Pekin Ibrahim dan Fezrul Khan.

Pada tahun 2016, beliau kembali beraksi di layar perak menerusi filem Cina tempatan berjudul Happy Birth Death yang ditayangkan pada 22 Disember 2016.[35][36]

Muzik

Yana memulakan kerjaya muziknya pada 2004 menerusi album studio pertamanya bertajuk Ceria yang diterbitkan oleh MIG Records.[37] Album yang dikeluarkan pada 22 Julai memuatkan 10 lagu, antaranya "Hingga Hujung Nyawa" dan ”Aku Pasrah", lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album ini ialah "Go Away (Pergilah)", "Aku Redha", "Kosong", "Mengertilah", "Bermula Satu Cerita", "Rahsia Cinta", "Ceria" dan "Singgahsana Sangkar Cinta".[37]

Pada 2013, beliau merakamkan lagu bersama pelakon Shaheizy Sam yang bertajuk "Beginilah Caranya" yang menjadi lagu tema filem Aku Ada, Kau Ada? lakonan mereka berdua. Beliau juga menyanyikan satu lagi runut bunyi filem ini, "Halus Berbisa" secara solo.

Rujukan

WikiPedia: Yana_Samsudin http://www.broframestone.com/2012/12/strawberi-cin... http://www.broframestone.com/2013/02/sekual-adnan-... http://www.budiey.com/norliana-shamsudin-pengarah-... http://www.budiey.com/sinopsis-siti-kelembai-lakon... http://www.facebook.com/yanasamsudin.fanpage http://www.facebook.com/yanasuperfriend.fanpage http://www.imdb.com/name/nm4204519/ http://instagram.com/yanasamsudin http://instagram.com/yanasuperfriend http://malaysianaccess.com/mawaddah-cinta-yana-sam...