Kerjaya Yusof_Haslam

Yusof (tengah), bersama dua anaknya, Syamsul (kanan) dan Syafiq (kiri).

Beliau memulakan penglibatannya dalam kerjaya lakonan dengan memainkan watak tambahan dalam Laksamana Do Re Mi arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1972, sebagai pengawal Menteri Fasola (lakonan Allahyarham Hussein Abu Hassan). Ia hanya pada tahun 1975 beliau mengambil peranan utama menerusi filem Permintaan Terakhir sebagai "Idham" berdampingan dengan aktres utama yang juga merupakan rakan seperjuangannya, Uji Rashid.[8][2]

Yusof membintangi tiga filem sepanjang 1976, iaitu filem Loceng Maut arahan Nas Achnas serta dua filem arahan Jamil Sulong, Cinta Dan Lagu dan Sayang Anakku Sayang. Tiga tahun kemudian, beliau membintangi filem Detik 12 Malam arahan S. Sudarmaji serta filem Tiada Esok Bagimu arahan Jins Shamsuddin. Pada 1981, beliau memegang watak sebagai MM Jaafar Hassan dalam filem sejarah peperangan Bukit Kepong arahan Jins yang mana sebahagian besar dari jalan cerita filem ini ialah berdasarkan daripada peristiwa berdarah pada 23 Februari 1950.[9] Filem ini merupakan satu kejayaan komersial dan meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM1.7 juta, sekaligus memenangi Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-3 pada 1982.

Beliau mula mengarahkan filem pada tahun 1991 dengan filem pertamanya Bayangan Maut, sebuah filem thriller aksi misteri yang dibintangi penyanyi rock Ella. Ini kemudian diikuti oleh Pemburu Bayang pada tahun 1992, Sembilu pada tahun 1994, filem blockbuster terlaris, Maria Mariana pada tahun 1996 serta sekuelnya dua tahun selepas antara lain.[10] Pada 1999, beliau menerbitkan Bara gandingan Awie dan Nasha Aziz yang pernah digosipkan mempunyai hubungan dengan Yusof.[2]

Pada 8 Januari 2000, beliau mengarahkan filem drama romantik, Pasrah yang dibintangi oleh Erra Fazira dan Norman Hakim yang berkisarkan tentang kehidupan seorang gadis yang bernama Farah Diba telah berubah dari seorang gadis biasa menjadi seorang peragawati terkenal setelah dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Malaysia.[11][12][13] Setahun kemudian, beliau mengarahkan filem Gerak Khas The Movie yang ditayangkan pada 1 Mac 2001 dan dibintangi oleh sebahagian besar daripada pelakon utama drama Gerak Khas.[14] Kejayaan filem ini membawa kepada kesinambungan menerusi filem kedua (2002)[15] dan ketiga (2004).[16]

Pada 24 Mac 2005, beliau mengarahkan filem terakhirnya, Sembilu 2005 yang dibintangi oleh Vince dan Hetty Sarlene. Filem cinta remaja ini mengisahkan tetang percintaan Salina dan Vince mendapat tentangan hebat daripada keluarga mereka masing-masing.[17] Selepas bersara dari mengarah filem, Yusof lebih banyak menumpukan perhatian kepada tugas sebagai penerbit untuk filem dan televisyen terbitan Skop Productions yang mana beliau berkhidmat sebagai Pengarah Urusan.

Pada 2008, beliau menerbitkan filem Evolusi KL Drift arahan anak lelakinya, Mohd Syamsul yang ditayangkan pada 3 April hingga kejayaan kewangan dan kritis.[18] Kejayaan filem ini membawa kepada kesinambungannya yang ditayangkan pada 25 Mac 2010[19] dan turut mencetuskan siri TV adaptasi filem yang disiarkan di TV2 pada 2012.[20]

Pada 2012, beliau dan pelakon bertukar pengarah, Ahmad Idham mengumumkan akan bekerjasama menerusi sebuah filem aksi komedi hasil kerjasama Skop Productions milik Yusof dan Excellent Pictures milik Idham. Filem itu yang bertajuk Gangster Celop yang ditayangkan pada 21 Februari 2013 merupakan gabungan dari filem KL Gangster dan drama Apa Celop?, dibintangi oleh Syamsul Yusof, Kamal Adli dan Hanis Zalikha. Di dalam filem ini, Idham sebagai pengarah dan Yusof sebagai penerbit.[21]

Beliau bersama-sama dengan komposer Datuk Ramli M. S. dan penyanyi veteran Indonesia, Hetty Koes Endang menjadi juri tetap rancangan TV realiti, Gegar Vaganza musim keempat yang mula bersiaran pada 29 Oktober 2017 di Astro Ria.

Rujukan

WikiPedia: Yusof_Haslam http://www.agendadaily.com/Hiburan/pengarah-filem-... http://www.astroawani.com/video-malaysia/kl-gangst... http://www.budiey.com/filem-evolusi-kl-drift-filem... http://www.defarhano.com/2011/07/biodata-datuk-yus... http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2... http://www.imdb.com/name/nm0368209/ http://www.malaysiandigest.com/archived/index.php/... http://www.ohbulan.com/ahmad-idham-yusof-haslam-be... http://www.theborneopost.com/2013/09/14/seven-case... http://bm.therakyatpost.com/buzz/2015/09/02/yusof-...