Bakat Zainalabidin

Gaya muzik

Zainal Abidin sewaktu bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-2.

Sebagai seorang penyanyi dan pemuzik, Zainal Abidin terkenal dengan gaya muziknya yang unik yang lebih cenderung kepada muzik Afro-Asia. Muzik yang unik yang dibawakan oleh beliau menjadi elemen baru kepada industri muzik tanahair. Inspirasi dan pengaruh daripada kedua ibu bapanya yang meminati irama lagu tradisional seperti Ghazal dan Gamelan, diadunkan pula dengan citarasa muzik yang diminati oleh Zainal seperti rock progresif dan jazz, maka terhasil idea untuk membentuk elemen muzik baru yang tersendiri dan unik. Sehingga kini masyarakat masih lagi dapat mendengar elemen muzik yang baru yang dibawakan oleh Zainal Abidin. Kekuatan pada komposisi melodi muzikal yang dibawakan oleh beliau sehingga kini masih tidak dapat dikelaskan pada mana-mana genre tertentu di mana ia tersendiri dan tidak dapat ditandingi. Muzik yang dibawakan oleh Zainal bukan sahaja mudah diterima oleh semua golongan di Malaysia malah ia turut memberi inspirasi kepada masyarakat di Malaysia.

Permulaan eksperimentasi dilihat bermula daripada album solonya yang pertama, Zainal Abidin pada tahun 1991 di mana Zainal Abidin telah berjaya mengubah identitinya secara drastik melalui lagu-lagunya seperti Hijau, Baba dan Inayah, dan ianya adalah sesuatu yang sangat baru dan berbeza. Di dalam setiap lagu yang ditulis oleh beliau terkandung mesej cintanya kepada kemanusiaan dan alam sekitar melalui liriknya. Perbezaan ini yang telah meletakkan muzik Zainal Abdin di dalam genre 'World Music' yang mudah diterima oleh masyarakat antarabangsa.

Reputasi

Beberapa penyanyi tempatan mempunyai pendapat mereka yang tersendiri mengenai bakat dan reputasi Zainal Abidin sebagai penghibur dari segi persembahan dan penghayatan vokal.

Penyanyi dan penulis lagu, Amir Yussof yang pernah berkongsi pentas bersama Zainal dalam konsert Ikhlas 1992 berkata beliau merupakan "seorang penyanyi yang mempunyai daya penarik di pentas. Saya sangat bertuah dapat melihat persembahannya dan berkerja dengannya. Salah seorang penghibur terbaik di Malaysia."

Penyanyi pop, Dayang Nurfaizah yang memuji vokal Zainal sambil berkata: "Zainalabidin adalah penyanyi dan penghibur di dalam kelas yang tersendiri. Saya sentiasa mengagumi keunikan suara dan gaya persembahannya. Saya selalu mengimpikan untuk menyanyi bersama beliau dan baru-baru ini, impian saya telah terlaksana. Sangat terhibur melihat beliau dengan bersahaja dan santai di pentas dengan senyuman yang tidak pernah lekang di muka. Menonton persembahannya adalah suatu peluang yang tidak dapat dilepaskan. Zainalabidin, kau satu dalam sejuta dan penghibur yang sebenar. Satu penghormatan dapat menyanyi bersama dengan beliau."

Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid yang pernah berkongsi pentas bersama beliau dalam konsert Ikhlas 1992 berkata: "Beliau ialah seorang penghibur yang berkarisma dengan suara yang unik dan tersendiri. Tenaga dan daya penariknya di pentas tiada tandingan sehingga ke hari ini oleh mana-mana artis lelaki lain. Saya sangat berbangga kerana dapat mengenali dan berkerja dengan seorang penghibur yang berbakat besar."

Rujukan

WikiPedia: Zainalabidin http://www.rotikaya.com/roslan-aziz-rancang-comeba... http://www.star2.com/entertainment/music/music-new... http://www.bharian.com.my/node/60463 http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://www.nst.com.my/news/2016/07/159302/ikhlas-t... http://www.nst.com.my/news/2016/07/159963/green-pe... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/gabungan-zai... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/zainal-ambil... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt...