Sinopsis Ahmad_Durrah

Mengisahkan suka-duka kehidupan Ahmad Durrah yang terus berubah setelah jatuh ditimpa tangga. Sedih dan tertekan selepas diisytiharkan muflis oleh mahkamah dan kehilangan jawatan, Ahmad Durrah dikejutkan pula dengan permintaan isterinya, Mira yang mahukan perceraian kerana tidak mahu lagi terikat dengan dirinya yang kini tidak lagi berharta dan berstatus tinggi. Walaupun hatinya remuk dan kecewa, mahu atau tidak, Ahmad Durrah terpaksa melepaskan satu-satunya insan yang dicintai selama ini.

Setelah merenung ikhtibar segala yang berlaku, Ahmad Durrah mengambil keputusan untuk mengembara dan bermusafir bagi menenangkan hatinya disamping mencari kekuatan untuk bangun semula dari kegagalan. Seperti ditakdirkan, pengembaraan Ahmad Durrah membawanya ke Kampung Tualang, sebuah kampung nelayan yang indah permai namun sudah lama bergolak dengan konflik.

Di sinilah bermulanya perjalanan Ahmad Durrah yang penuh dengan dugaan namun akhirnya keikhlasan hati dan niat yang murni menemukan Ahmad Durrah bukan sahaja dengan sahabat dan keluarga baru yang menerima dan melayannya dengan mesra, malah, dia berhadapan dengan dilemma apabila harus memilih antara 3 wanita yang menyintainya.

Siapakah wanita yang akhirnya berjaya memenangi hati Ahmad Durrah yang selama ini tertutup untuk menerima cinta lagi dan bagaimanakah beliau mengharungi cabaran dan perselisihan faham orang mengenai dirinya yang hanya ingin bangkit daripada sejarah silam yang pahit?