Kerjaya Ahmadshah_Abdullah

Beliau memulakan karier sebagai Pegawai Kastam di Kastam DiRaja Malaysia, Kota Kinabalu pada 1 Mac 1968. Kemudiannya, beliau dilantik sebagai Pegawai Kerja (Luar Bandar) dan ditukar ke Pejabat Daerah Beaufort sebagai Penolong Pegawai Daerah (Luar Bandar) pada 10 November 1969.

Beliau pernah dipinjamkan Ke Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) sebagai Ketua Pegawai Tadbir LPN dari 14 April 1979 hingga Julai 1983. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (1983).

Beliau kemudiannya diterima dalam perkhidmatan agama dengan dilantik sebagai Pegawai Dakwah Majlis Ugama Islam Sabah (Oktober 1986 hingga Januari 1988) dan Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (Januari 1988 hingga Jun 1994).

Kemudiannya, beliau dilantik sebagai Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan di Jabatan Ketua Menteri (1994 hingga 1995) dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (16 Disember 1995 hingga Mac 1998). Beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pentadbiran) Negeri Sabah mulai 21 Mac 1998 hingga beliau bersara pada 8 Disember 2002.

Pada 1 Januari 2003 beliau telah mengangkat sumpah sebagai Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah ke-9. Beliau ditabalkan oleh Yang DiPertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.