Akademi_Fantasia_Musim_6

Akademi Fantasia Musim 6 ialah musim keenam bagi rancangan Akademi Fantasia yang disiarkan di saluran Astro Ria. Slogan komersial bagi musim ini ialah "Serlahkan Bakat Superstar Dalam Diri Anda". Berbeza dengan musim sebelumnya, kali ini Akademi Fantasia terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 – 45, tidak seperti tahun sebelumnya yang hanya terbuka kepada peserta yang berumur 18 – 29 tahun.[1][2] Ujibakat telah diadakan di 5 buah bandar utama di seluruh Malaysia dan juri-juri memilih 25 daripada mereka yang paling terserlah dan sesuai untuk diambil sebagai calon pelajar Akademi Fantasia. Kemudian, terdapat satu kursus bina diri yang dianjurkan untuk mendidik dan menonjolkan disiplin calon sebelum pemilihan 14 orang daripada mereka untuk diserap sebagai pelajar Akademi Fantasia musim ke-6.Juara Akademi Fantasia Musim 6 berusia 18 tahun iaitu Stracie Angie Anam, dari Kota Kinabalu, Sabah, menjadi juara pertama daripada Sabah dan juga juara wanita kedua bagi rancangan ini sekaligus mengekalkan takhta juara AF ke atas kaum wanita berturut-turut.