Am Anugerah_Industri_Muzik_ke-14

Pihak penganjuran AIM 14 menerima 393 pencalonan, termasuk 97 pencalonan album, iaitu "71 album studio penuh, 14 album Indonesia dan 12 album mini dan kompilasi". Menurut Aziz Bakar, pengerusi PAIMM, sungguhpun jumlah pencalonan menurun 9%, namun beliau "puas hati dengan peningkatan mutu penerbitan album-album."[1] Pencalonan muktamad diumumkan pada 28 Mac.

Malam penganugerahan diserikan oleh persembahan yang dikuasai artis lelaki seperti M. Nasir, Sean Ghazi, Anuar Zain, Mawi, Rabbani, Raihan, Samsons, Reshmonu, Bob, Search dan Wings. Empat orang penyanyi wanita, Aishah, Jaclyn Victor, Noryn Aziz dan Siti Nurhaliza bergabung untuk menjayakan sebuah persembahan khas sebagai memperingati Seha dari kumpulan Freedom yang meninggal dunia pada tahun 2005.[2]

Keputusan keseluruhan menyaksikan Pete Teo, seorang pemuzik indie, paling menyerlah dengan tiga anugerah, diekori Datuk Siti Nurhaliza dengan dua anugerah iaitu Album Pop Terbaik dan Album Terbaik menerusi album Transkripsi. Jaclyn Victor turut memecahkan monopoli Siti dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik dalam Album (Wanita) setelah lapan tahun berturut-turut menerusi album Inilah Jac.[2]

AIM 14 merupakan kali terakhir kategori-kategori berikut dipertandingkan serta gantinya mulai AIM 15 (jika ada): Album Indonesia Terbaik (diganti oleh Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang Dipersembahkan Artis Luar Negara); Album Pop Rock Terbaik dan Album Hard Rock Terbaik (digabungkan menjadi Album Rock Terbaik); dan Artis Inggeris Tempatan Terbaru Terbaik.