Senario As-Salihin

Perancangan Harta Pusaka sangat penting dalam kehidupan seseorang manusia. Walau bagaimanapun, ramai umat Islam khususnya yang masih lagi tidak sedar akan kepentingan membuat perancangan harta pusaka Islam. Kurangnya kesedaran dan ilmu mengenai perancangan harta pusaka Islam akan menyebabkan kerugian dari pelbagai aspek. Menurut kajian yang dilakukan oleh U.S department of state (2006), umat Islam di Malaysia berjumlah 16 247 600 orang. Ini adalah satu jumlah yang besar akan tetapi 99% umat Islam di Malaysia tidak menulis wasiat bermakna mereka tidak melakukan perancangan harta pusaka mereka.

Sikap tidak mengendahkan kepentingan perancangan harta pusaka Islam ini boleh menyebabkan ekonomi negara terjejas. Ini boleh dibuktikan dengan pertambahan tanah-tanah yang tidak boleh dimajukan kerana dibekukan selepas kematian pemilik tanah. Menurut kenyataan akhbar dalam New Sunday Times pada 28 Januari 2007, sebanyak RM 40 Bilion wang dan aset yang tidak dituntut selepas kematian. Ianya merangkumi RM 38 Bilion hartanah, RM 1.5 Bilion wang tunai, RM 70 Juta daripada wang simpanan pekerja (KWSP), dan terdapat lebih kurang 1 Juta tanah yang masih dinamakan atas pemilik yang telah meninggal dunia. Hal ini boleh menyebabkan kerugian kepada kita dari segi ekonomi dan sebagainya. Kesedaran tentang perancangan harta pusaka Islam perlu ditingkatkan bagi mengelakkan kerugian dari pelbagai aspek dari segi ekonomi, agama, dan lain-lain lagi.