Kerjaya Azlan_Komeng

Azlan memulakan kerjaya di industri seni pada tahun 1994 sebagai Pelagak ngeri untuk drama-drama sekitar tahun 90an selepas berjaya menamatkan pelajaran dalam Bidang Seni Halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Penglibatan lakonannya bermula pada tahun 2006, setelah pengarah Ahmad Idham memberikan peluang kepadanya untuk beraksi dalam filem Remp-It. Dalam filem itu, dia memegang watak sebagai Komeng, namanya sendiri. Pada tahun 2009, Rosyam Nor menawarkannya untuk membintangi dua drama iaitu, Dinasti Bilut dan Rahsia Hati.

Komeng memegang watak sebagai Lokman dalam filem Langgar arahan sulung Syed Hussein lakonan bersama Ady Putra, Namron, Zul Huzaimy dan Hans Isaac yang ditayangkan pada April 2013.[1] Beliau seterusnya membintangi filem Lari arahan Idham lakonan Aaron Aziz.[2][3]

Beliau kemudiannya diberikan watak utama dalam filem 1 Lawan Satu arahan Pierre Andre lakonan bersama Mikail Andre dan Along Eyzendy. Ia menjadi satu-satunya filem lakonan beliau yang mana beliau menjayakan peranan utama.[4]