Bakat Azmee_Abdul_Manap

Pengaruh

Azmee tidak pernah didedahkan kepada muzik kerana kawasan tempat tinggal beliau pada masa itu tidak mempunyai bekalan elektrik dan keluarga beliau pula tidak mempunyai radio atau pun televisyen, sehinggalah beliau berumur 7 atau 8 tahun. Beliau hanya menerima pendedahan kepada bidang seni suara ketika beliau berumur 5 atau 6 tahun, apabila bapa beliau mula mengajar beliau dan anak-anak kampung yang lain untuk mengaji Al-Quran dan berqasidah. Setiap malam, tidak kurang dari 100 orang anak-anak kampung datang untuk belajar mengaji Al-Quran bersama bapa beliau. Mereka belajar beramai-ramai, dengan sekurang-kurangnya empat atau lima orang pelajar mengaji Al-Quran pada satu masa yang sama.[1]

Aura Bintang RTM

Ketika Azmee masih di sekolah rendah, beliau telah menonton sebuah rancangan pertandingan nyanyian terkenal tanah air iaitu Bintang RTM buat kali yang pertama. Kejayaan M. Rizal bergelar juara Bintang RTM 1978 telah menyemarakkan impian Azmee untuk menyanyi.

Pada tahun berikutnya pula, kejayaan Jamal Abdillah menjadi juara Bintang RTM 1979 melalui lagu nyanyian asal kumpulan Alleycats, Senandung Semalam, telah memberi impak kepada kehidupan Azmee. Beliau menyifatkan suara emas dan cara Jamal menyampaikan lagu tersebut di pentas akhir Bintang RTM 1979 tersebut telah memberikan beliau suatu kuasa seni yang tiada tolok bandingnya.[5][6]

Pengalaman menjadi qari

Pada tahun 1981, ketika Azmee masih di Darjah Empat, bakat beliau telah mula dikesan oleh Allahyarham Ustaz Baharuddin iaitu rakan sejawat kepada bapa Azmee, setelah beliau mendengar Azmee menyanyi dari kelas ke kelas di sekolah. Allahyarham mengatakan bahawa Azmee memiliki kualiti suara. Allahyarham juga mula menyiasat latar belakang Azmee melalui bapa Azmee sendiri. Sejak dari itu, Allahyarham mula melorongkan bakat Azmee kepada perkara yang lebih bermanfaat iaitu musabaqah Al-Quran.[7]

Bakat dan kebolehan Azmee juga telah dikesan oleh Ustazah Syarifah, salah seorang guru beliau di Sekolah Agama Majlis Agama Islam Negeri Melaka pada waktu petang. Azmee mula menjadi peserta qari dan mewakili sekolah kebangsaan dan sekolah agama.

Dari Darjah Empat sehingga Darjah Enam, beliau berjaya menjadi johan musabaqah Al-Quran di kedua-dua peringkat - sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Beliau berjaya menjadi juara peringkat kawasan tetapi beliau kalah dalam pertandingan di peringkat daerah.

Semasa Azmee di sekolah menengah, beliau mengorak langkah untuk menjadi salah seorang pencabar terkuat dalam musabaqah. Dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Tiga, beliau berjaya menjadi juara peringkat kawasan dan juga daerah Alor Gajah. Walau bagaimanapun, beliau kalah di peringkat negeri Melaka kepada peserta-peserta yang sama setiap tahun iaitu saudara Mirmunir dan Abdullah. Pada masa itu, negeri Melaka mempunyai 3 buah daerah sahaja iaitu Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah.

Setelah Azmee berpindah ke Sekolah Menengah Dato' Dol Said, Alor Gajah, barulah beliau dapat mengalahkan Mirmunir dan Abdullah. Mereka berdua terpaksa bertanding antara satu sama lain untuk layak ke peringkat kawasan kerana mereka berdua mewakili sekolah yang sama, iaitu Sekolah Menengah Agama Sultan Muhammad, Batu Berendam. Azmee pernah terpilih untuk memasuki sekolah tersebut tetapi beliau menolak tawaran tersebut. Akhirnya, beliau berjaya menjadi juara qari peringkat negeri Melaka bagi kategori sekolah menengah pada tahun 1988. Beliau telah dibimbing oleh guru Al-Quran beliau, Ustaz Mohd Yusof.

Bermula dari saat itu, Azmee sudah mula dikenali kerana bakat yang dimiliki beliau. Beliau mula terdedah dengan seni muzik setelah selesai menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Sahabat beliau iaitu saudara Ikhwan Zahari banyak bercerita kepada beliau mengenai dunia muzik rock pada masa itu.[8]

Rujukan

WikiPedia: Azmee_Abdul_Manap http://www.cdf.gov.eg/tobool/?q=english-data-team/... http://itbm.com.my/shop/pages/gallery/album/malam_... http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&d... http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=022... http://m.utusan.com.my/hiburan/hidayah-melalui-muz... http://m.utusan.com.my/hiburan/selebriti/mencari-p... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt... https://itunes.apple.com/my/artist/daqmie/73791036... https://www.deezer.com/ms/artist/5330099 https://m.facebook.com/permalink.php?id=7177505882...