Bahasa_Melayu_Pontianak

Bahasa Melayu Pontianak merupakan dialek/loghat Bahasa Melayu yang digunakan oleh masyarakat Melayu di Kalimantan Barat, Indonesia khususnya di wilayah Kota Pontianak, Kabupaten Kubu Raya dan Kabupaten Mempawah. Ia memiliki persamaan dengan Bahasa Melayu di Semenanjung Malaysia (dialek Johor-Riau) dan Bahasa Melayu Sarawak. Bahasa Melayu Pontianak juga dipengaruhi oleh bahasa Dayak dari rumpun Klemantan yang mempunyai persamaan beberapa kosa kata dengan bahasa Melayu yang dituturkan di wilayah Kabupaten Sambas, Kabupaten Kayong Utara dan Kabupaten Ketapang.Dialek ini memiliki keunikan dalam pengucapan, kerana huruf 'r' dalam dialek ini diucapkan seperti R sengau atau voiced velar fricative (ɣ). Kemudian terdapat pengunaan perkataan 'bah' sebagai penegas kata yang diucapkan sebelumnya, seperti yang digunakan dalam loghat-loghat bahasa Melayu yang dituturkan di bahagian utara Pulau Borneo (seperti Sarawak, Brunei, Sabah dan wilayah Kalimantan Utara di Indonesia). Bahasa Melayu Pontianak tidak mempunyai tahap bertutur seperti lembut, sederhana atau kasar. Kasar dan lembutnya seseorang berbicara bergantung kepada penekanan nada dan intonasinya. Perbezaan yang ketara antara Bahasa Melayu Pontianak dengan Bahasa Melayu Piawai adalah sering menggunakan kata-kata yang telah disingkat dari kata asalnya dalam pertuturan harian.