Sejarah Balisong

Asal-usul pisau ini adalah tidak jelas. Sejarah lisan mendakwa bahawa balisong pertama kali diciptakan di Filipina pada sekitar 800 Masihi. Walau bagaimanapun, tidak ada bukti dokumentasi atau arkeologi yang menyokongnya. Pengeluaran besar-besaran balisong di Filipina hanya dapat dibuktikan bermula pada awal 1900-an. Dakwaan lain ialah balisong pada awalnya merupakan penyesuaian alat pengukur Perancis yang disebut pied du roi ("kaki raja") yang diciptakan antara 1500-an hingga akhir 1700-an. Namun begitu, cara alat ini diperkenalkan ke Filipina adalah tidak diketahui. Terdapat teori bahawa pisau ini mungkin diperkenalkan oleh pelaut Empayar Sepanyol yang kemudian bersekutu dengan Perancis.[3][4]

Terdapat beberapa etimologi bagi nama "balisong". Satu teori mengatakan bahawa balisong pada asalnya ialah nama sebuah barangay di Taal, Batangas. Barangay itu, bersama-sama barangay jiran Pandayan dikatakan sebagai salah satu pusat-pusat pertukangan besi utama Filipina, dan juga menghasilkan pisau-pisau lain seperti pisau bolo.[5][6][7] Satu lagi pendapat mengatakan bahawa perkataan balisong merupakan paduan daripada dua perkataan Tagalog bali (patah) dan sungay (tanduk), berdasarkan dakwaan bahawa pisau ini pada awalnya diperbuat daripada tanduk-tanduk haiwan.[8]