Sejarah Brek_cakera

Brek cakera mula digunakan di England pada dekad 1890an; kereta pertama yang menggunakan brek cakera dipatenkan oleh Frederick William Lanchester di kilang Birminghamnya pada tahun 1902, walaupun setelah setengah abad barulah ciptaannya diterima pakai umum.

Brek cakera gaya moden mula muncul pada kereta Crosley Hotshot yang dikeluarkan dengan jumlah terhad pada 1949, walaupun pengeluarannya dihentikan pada tahun 1950 kerana masalah reka bentuk.[1] Chrysler Imperial juga menawarkan brek cakera dari tahun 1949 sehingga 1953, walaupun ia turut disertakan dengan dua plat tekanan kitaran penuh, mengembang dalam. Brek cakera yang boleh diharap dibangunkan di UK oleh Dunlop dan mula tampil pada tahun 1953 pada kereta lumba Jaguar C-Type. Kereta Citroën DS 1955, dengan brek cakera berkuasa, dan Triumph TR3 1956 adalah kereta Eropah pertama yang menggunakan brek cakera moden.[2] Kereta pengeluaran pertama yang menggunakan brek cakera hadapan dan belakang ialah Austin-Healey 100S pada tahun 1954. [3] Kereta pengeluaran Amerika seterusnya yang menggunakan brek cakera adalah Studebaker Avanti1963[4] (pilihan pada model Studebaker yang lain), peralatan wajib pada kereta Rambler Marlin 1965 (pilihan pada model AMC yang lain), dan Chevrolet Corvette Stingray (C2) 1965.

Brek cakera menawarkan kuasa membrek yang lebih baik daripada brek gelendong, termasuk ketahanan daripada "kepudaran brek" yang disebabkan komponen brek yang terlampau panas, serta mampu pulih dengan cepat setelah terendam di dalam air (brek yang basah adalah kurang berkesan). Tidak seperti brek gelendong, brek cakera tiada kesan servo sendiri dan daya membrek sentiasa berkadaran dengan tekanan pada injak atau tuas brek.

Terdapat banyak penggunaan awal brek cakera kereta yang ditempatkan pada bahagian dalam aci pacuan, berhampiran gear pembeza, tetapi kebanyakan brek kereta hari ini terletak tersembunyi di dalam roda.

Brek cakera paling popular pada kereta sport pada awal pengenalannya, memandangkan kenderaan tersebut amat memerlukan kuasa membrek yang tinggi. Kini brek cakera menjadi lazim pada kebanyakan kereta penumpang, walaupun masih banyak model kereta (khususnya kereta kecil) yang menggunakan brek gelendong belakang bagi mengurangkan kos serta berat di samping mempermudahkan rekaan brek tangan.