Sinopsis Bukan_Kerana_Aku_Tak_Cinta

Mengisahkan tentang seorang lelaki berdarah campuran Melayu-Cina berhijrah selepas melakukan banyak kejahatan sebelum ini. Ahmad Ziyad bin Iskandar Foo atau lebih dikenali sebagai Jebat, dibesarkan oleh keluarga gengster selepas ibu bapanya mati dibunuh. Bagaimanapun, Jebat berubah selepas satu kejadian dan bertemu pula dengan abangnya, Wahab dan majikan abangnya, Uwais yang banyak membantunya.

Ketika berhijrah, tidak pernah terlintas di hatinya untuk jatuh cinta kerana tujuan hijrahnya hanya untuk menuntut ilmu agama dan melupakan kisah silamnya. Namun, sifatnya yang tenang, rajin dan baik telah menarik hati Hannah Mastura binti Umar Mukhriz iaitu adik ipar majikannya. Pelbagai cara dilakukan Mastura untuk menarik perhatiannya sehingga Jebat berasa rimas. Walau berkali-kali ditolak, Mastura tidak pernah berputus asa. Jebat tidak pernah menyangka gadis cantik, kaya dan bijak seperti Mastura terpaut hati kepadanya, seorang lelaki biasa yang mempunyai parut di bahagian mata.

Selepas berkahwin dengan Mastura, satu persatu rahsia Jebat terbongkar. Masih adakah cinta dan kesetiaan dalam hati Mastura apabila mengetahui suaminya dulu bekas ketua gengster? Mampukah rumah tangga yang dibina bertahan?