CETREE
CETREE

CETREE

Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga atau Centre For Education, Training and Research in Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE) telah mula beroperasi sejak 2 Oktober 2000 dan dirasmikan pada 29 Julai 2002.CETREE telah diwujudkan daripada hasil perbincangan dan kerjasama antara kerajaan Malaysia bersama kerajaan Denmark di dalam bidang tenaga diperbaharui yang bermula seawal tahun 90-an. Hasil daripada kerjasama ini, ia telah dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan bahawasanya perlu diwujudkan sebuah pusat yang dapat memberi pendidikan dan latihan selain memainkan peranan utama di dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai peranan tenaga yang diperbaharui dan kecekapan tenaga kepada golongan profesional, sekolah, institusi pengajian tinggi, sekolah dan orang awam di Malaysia.Hasil daripada persetujuan ini, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia) dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah menandatangani perjanjian bersama dengan kerajaan Denmark (melalui Danish Cooperation for Environment and Development –DANCED). Melalui perjanjian ini, Universiti Sains Malaysia (USM) dilantik sebagai badan yang melaksana aktiviti CETREE selain menawarkan ruang pejabat, fasiliti latihan dan kakitangan yang pakar mengikut kepakaran tertentu. Selain itu, kerajaan Denmark juga memberi peruntukan pembiayaan kewangan melalui geran bagi pelaksanaan aktiviti–aktiviti CETREE selama 30 bulan, bermula Oktober 2000 sehingga tahun 2003. Penambahan pembiayaan kewangan bagi setahun lagi telah dipersetujui oleh kerajaan Denmark yang dilanjut sehingga Mac 2004.Bermula pada April 2004 sehingga kini pembiayaan kewangan CETREE telah disalurkan oleh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Selain itu, usul penubuhan pusat CETREE peringkat kebangsaan juga disebut dalam plan Rancangan Malaysia Ke Lapan seperti tercatat dalam BAB 11 (TENAGA) bahagian 11.37 pada mukasurat 342. Usaha murni ini mendapat sokongan yang padu daripada pegawai-pegawai kerajaan, ahli akademik dan para penyelidik.Sehingga kini, CETREE telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti membabitkan Tenaga Diperbaharui (TD) dan Kecekapan Tenaga (KT). Antaranya melaksanakan TD dan KT di peringkat sekolah menengah dan rendah, meningkatkan kesedaran awam melalui media massa, pertandingan, pameran dan sebagainya. CETREE juga mempunya sebuah van yang dipanggil unit pameran bergerak. Keunikan van ini adalah melibatkan 2 kaedah iaitu bahan api yang digunakan adalah minyak masak, manakala terdapat perkakasan elektrik seperti sebuah rumah mini yang dibekalkan kuasa elektrik melalui penjanaan kuasa suria. Kesinambungan kepada kejayaan dan kemajuan tersebut, CETREE pada ketika ini di dalam proses membangunkan sebuah bas mini yang memuatkan peralatan canggih serta perkakasan ‘hands on’ bersesuaian dengan keadaan semasa.