Ceri_Terengganu

Pokok Ceri Terengganu atau juga dikenali sebagai pokok Johor atau pokok Perupuk memiliki nama saintifik Lepisanthes alata [1]. Pokok Ceri Terengganu mempunyai ciri yang menarik ialah pada pokok dan buahnya. Kanopinya kecil, rendang dan bulat. Daunnya jenis majmuk pinat dengan beberapa pasang anak daun yang lancip dan bersayap. Kecantikan pokok ini diserikan lagi pucuknya yang lembut melentur dan berwarna ungu muda. Pokok yang berasal dari Asia Tenggara ini mempunyai taburan yang meluas di Semenanjung Malaysia, Jawa, Borneo dan Filipina dan sering dijadikan pokok hiasan kerana bentuk pokonya yang menarik.[2]Buah Ceri Terengganu bergugus-gugus seperti buah anggur. Kulitnya amat menarik seperti buah ceri, merah cerah, licin dan berkilat. Buah ini bergantungan pada dahan dan ranting kecil. Walaupun rasa buahnya manis, isinya nipis dan bijinya besar. Pokok Ceri Terengganu merupakan pilihan yang sangat baik untuk dijadikan hiasan taman kerana mayang daunnya yang terurai cantik. Daun muda atau pucuknya berwarna ungu muda kelihatan sangat menarik dengan bunganya yang juga berwarna ungu. Daun yang matang berwarna hijau, runcing dan mempunyai 8-12 helai anak daun (leaflets) pada satu mayang yang boleh mencapai kepanjangan sehingga 50 cm.[3]Pokok ceri ini banyak ditanam di Terengganu dan Johor. Di Johor, buah ini juga disebut kelelek atau gegelek. Kedua-dua spesies ini sangat sesuai ditanam sebagai unsur seni taman dan pokok teduhan di taman, sekitar rumah, sekolah atau surau dan tempat awam yang lain.Pokok Ceri Terengganu berbuah di sepanjang tahun. Buahnya yang menarik tersusun bergugusan pada tangkai yang panjang dan setiap tangkai mempunyai sehingga 20 biji buah yang warna merah gelap dan berkilat. Saiz buahnya antara 2 cm hingga 3 cm, berbentuk bulat dan tajam di bahagian hujungnya dan setiap buah mempunyai satu hingga tiga biji. Isi buahnya manis dan sedikit kelat. Walaupun buahnya boleh dimakan, pokok ini biasanya ditanam untuk tujuan hiasan. Buah Ceri Terengganu digemari oleh burung dan kerana itu pokok ini boleh dijadikan tarikan untuk burung-burung datang ke taman. [4]