Sinopsis Cinta_Qaseh

Arash, seorang pelajar jurusan fotografi telah jatuh cinta pandang pertama dengan Qaseh ketika sedang asyik merakam gambar di sekitar Taj Mahal, Agra, India. Ketika itu, Qaseh, seorang pelajar jurusan perubatan sedang bercuti bersama rakan baiknya, Airin. Takdir telah menemukan mereka berulang kali bermula dengan insiden Arash merakam gambar Qaseh tanpa izin sehinggalah insiden kameranya dirampas oleh Qaseh. Namun, insiden inilah hubungan persahabatan mereka bertiga terjalin. Di Agra, mereka bertiga sering menghabiskan masa bersama. Lama-kelamaan, timbul rasa sayang dalam hati Qaseh terhadap Arash.

Disangka panas hingga ke petang, tapi hujan di tengahari. Arash dan Qaseh terpaksa berpisah sebelum mereka berdua sempat meluahkan perasaan. Arash telah pulang ke Malaysia dan meninggalkan Qaseh tanpa sepatah kata. Tindakan Arash membuatkan Qaseh kecewa malah Airin yang menyimpan perasaan terhadap Arash juga terasa tempiasnya. Selepas setahun, Qaseh kini menjadi doktor pelatih dan bakal disatukan dengan jejaka pilihan keluarganya Wahyu. Wahyu menyambut baik cadangan keluarganya tetapi Qaseh pula sebaliknya. Wahyu yang merupakan pelajar sambilan master ketika itu turut diminati oleh pensyarahnya, Maria, iaitu janda yang mempunyai seorang anak. Sikap Wahyu yang tenang membuatkan Maria jatuh cinta.

Arash terlibat dalam kemalangan dan dikejarkan ke hospital yang Qaseh bekerja. Arash berada dalam keadaan koma. Perasaan Qaseh mula berbelah bagi kerana jauh di sudut hatinya, dia masih sayangkan Arash. Kehadiran Arash turut memberi kesan kepada Airin yang juga merupakan doktor pelatih di hospital yang sama. Kali ini dia nekad untuk mendapatkan cinta Arash. Akhirnya, pernikahan tetap diteruskan tanpa kerelaan Qaseh. Sejurus selepas lafaz nikah diakadkan, Arash mula sedar dari koma. Qaseh segera ke hospital sebaik sahaja mendapat tahu akan hal tersebut.

Arash tidak menyangka yang dia akan bertemu semula dengan Qaseh. Dia bersyukur kerana pencariannya selama ini telah tamat dan berazam untuk tidak melepaskan Qaseh buat kali kedua. Semenjak itu, Arash dan Qaseh kembali rapat. Hubungan Arash dan Qaseh akhirnya dapat dihidu oleh Wahyu.