Penerbitan Coverina

Coverina ialah filem sulung arahan Khalid Nadzri, adik kepada pelakon dan pengarah Ahmad Idham.[2] Menurut Khalid,[2] Coverina bukan untuk mengangkat kisah 'transgender' atau 'crossgender', sebaliknya filem ini lebih memaparkan kisah lelaki yang terpaksa menyamar menjadi wanita untuk menyelami perasaan dan naluri golongan itu yang pernah dikecewakan lelaki.[2] Dalam temuramah bersama Harian Metro, beliau berkata: "Saya tertarik untuk mengarahkan Coverina kerana suka dengan skrip yang dihasilkan Ellyna Ahmad yang pernah menghasilkan skrip untuk filem Ophilia sebelum ini,".[2]

Filem ini menyaksikan gandingan pertama Pekin Ibrahim dan Siti Elizad.[2] Cabaran paling besar dihadapi oleh Khalid ialah untuk memastikan watak Kamelia yang dilakonkan oleh Pekin bukan watak lelaki lembut atau pondan. Penggambaran dijalankan di sekitar Kuala Lumpur. Barisan pelakon lain yang terlibat termasuk Cat Farish, Arissa Hidayah, Kina Kamal, Shahrolnizam Sulaiman dan Zazly Baginda.[2]

Pekin membawa dua watak, iaitu Kamal dan Kamelia. Beliau berkata mengenai wataknya: "Dalam filem ini, saya bukan jadi mak nyah atau pondan, tetapi perlu berpakaian wanita dan menjadi seorang gadis. Semuanya bermula selepas watak Kamal Ali pergi meminta kerja di sebuah kedai motosikal yang dimiliki bos wanita lakonan Siti Elizad,".[3][4][5]