Sinopsis Destinasi_G4

Azzam, Afeiq, Harris dan Daniel ialah empat remaja yang masing-masing mempunyai bakat tersendiri dan kekuatan dalam bidang nyanyian. Mereka hadir ke sesi ujibakat dengan matlamat tersendiri selain ingin membuktikan kemampuan mereka bergerak secara solo dalam bidang nyanyian.

Namun, apabila pihak sekolah ingin menggabungkan mereka sebagai satu kumpulan nyanyian demi untuk menyertai pertandingan nyanyian peringkat kebangsaan, empat anak muda ini menunjukkan pelbagai reaksi kerana tidak bersetuju dengan idea tersebut. Masing-masing mempunyai pelbagai ragam yang menimbulkan konflik dan kesukaran mereka untuk bekerjasama sebagai satu kumpulan.

Azzam, seorang yang pemalu dan sering gugup di atas pentas namun dia di antara yang paling rajin. Afeiq pula seorang yang ceria, sukakan cabaran tetapi agak lurus dan mudah ditipu. Harris pula, anak orang berada yang sering dimanjakan selain daripada bapanya menjadi penaung terbesar buat Sekolah Seni Bintang. Daniel pula seorang yang kreatif tetapi mempunyai sikap buruk iaitu sering meninggi diri.

Tetapi bagi Cikgu Lukman, Cikgu Ana dan Cikgu Raqim yang bertanggungjawab dalam pemilihan mereka, percaya kelebihan individu yang mereka miliki dapat menguatkan lagi kumpulan nyanyian mereka sekaligus harapan untuk menjuarai pertandingan nyanyian peringkat kebangsaan itu semakin cerah.