Dialisis
Dialisis

Dialisis

Dialisis adalah suatu proses yang dilakukan dengan menggunakan mesin dialisis bagi menjalankan fungsi seperti ginjal manusia yang sihat. Dialisis diperlukan apabila ginjal kita tidak dapat lagi berfungsi dengan baik dan tahap kerosakan ginjal telah mencapai 85-90%. Secara amnya, lebih kurang 30-40% pesakit diabetes yang mempunyai penyakit buah pinggang akan mengalami kegagalan buah pinggang. Kebiasaannya ia mengambil masa selama 10 hingga 20 tahun dari masa penyakit diabetes itu bermula. Tetapi, jangka masa untuk buah pinggang gagal untuk berfungsi boleh dikatakan akan menjadi singkat jika terlambat membuat pengesahan mengenai penyakit diabetes yang dihidapi. Oleh itu, adalah penting untuk anda melakukan pemeriksaan secara kerap untuk mengesan penyakit diabetes seawal yang boleh dan ambil langkah-langkah pencegahan yang sebaik-baiknya. Proses dialisis biasa dilakukan untuk membuang sisa-sisa metabolisma dan lebihan cecair agar tidak berkumpul di dalam tubuh serta menjaga tubuh badan supaya sentiasa berada dalam keadaan yang seimbang. Dialisis dapat dilakukan sama ada di hospital kerajaan atau swasta, pusat rawatan dialisis dan di rumah. Latar belakang dialisis dikemukakan oleh Dr. Willem Kolff yang berasal dari Belanda pada tahun 1943 dengan menghasilkan mesin dialisis yang terawal di dunia. Pada tahun 1861, ahli kimia bernama Thomas Graham telah mengaplikasikan proses dialisis, suatu proses yang digunakan untuk memisahkan partikel koloid dari ion terlarut atau molekul. Thomas Graham juga bertanggungjawab untuk mengembangkan Hukum Graham dan memisahkan partikel ke dalam dua kelas iaitu koloid dan kristaloid.