Sejarah Didi_&_Friends

Digital Durian ditubuhkan oleh Sinan Ismail dan Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian pada tahun 2008 dan tertumpu kepada membuat perkhidmatan multimedia antara bisnes seperti kandungan e-Learning, video multimedia, animasi 3D untuk industri korporat dan sebagainya.[2] Pada 2009, Digital Durian kembali kepada matlamat asal apabila menyertai MSC Malaysia Intellectual Property Creators Challenge (IPCC) dua tahun berturut-turut dan memohon untuk geran kerajaan pada 2011 tetapi ditolak. Akhirnya pada 2012 mereka mengemukakan idea Didi & Friends di IPCC tahun tersebut lalu meraih dana RM50,000.[3]

Kejayaan ini mendorong Digital Durian untuk menyiapkan sebuah cerita pilot 11 minit mengenai Didi & Friends dengan tema eksplorasi sains. Namun setelah mendapati peluang terhad untuk memasarkan bahan kanak-kanak prasekolah di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Pada masa yang sama, Sinan mendapati kurangnya lagu kanak-kanak bahasa Malaysia yang berkualiti dalam YouTube, maka ini mendorong beliau untuk mengalihkan fokus Didi & Friends kepada lagu prasekolah bahasa Malaysia dan menubuhkan Didi & Friends dalam bentuk saluran YouTube.[3]

Didi & Friends diperkenalkan buat julung kalinya dalam bentuk saluran YouTube yang menyiarkan video animasi lagu kanak-kanak, dibuka pada 15 Mei 2014.[1] Purata video dalam dua minit, bukan sahaja mengenai lagu rakyat Malaysia bahkan lagu kanak-kanak bahasa asing yang diterjemahkan dan disetempatkan ke bahasa Malaysia turut dipersembahkan oleh siri video tersebut seperti "Bingo" dan "Pak Atan Ada Ladang" (Old McDonald Had a Farm). Juga terdapat sedikit video lagu kanak-kanak dalam bahasa Mandarin, Inggeris dan Thai, malah terdapat saluran video Didi & Friends yang berasingan dalam bahasa Indonesia. Video-video Didi & Friends juga dibawa ke Astro Ceria mulai 8 Disember 2015.[4]

Pada 2017, francais Didi & Friends mengorak langkah baharu melalui kerjasama dengan pihak Astro mengeluarkan siri episod yang lebih panjang iaitu Cerita-Cerita Didi & Friends, bermula dengan pratayang di pawagam TGV Cinemas diikuti dengan siaran perdana di Astro Ceria mulai 14 Ogos.[5]

Pada 2018, sejarah dicipta apabila filem pawagam pertama francais iaitu filem muzikal Konsert Hora Horey Didi & Friends dikeluarkan pada 10 Mac sempena cuti sekolah di pawagam-pawagam seluruh Malaysia dengan penampilan istimewa Datuk Seri Siti Nurhaliza.[6]

Rujukan

WikiPedia: Didi_&_Friends http://www.astroawani.com/berita-hiburan/cerita-ce... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/konsert-h... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://www.youtube.com/UCr9QW8w8CvVAe3MSWZCAn-Q http://www.youtube.com/watch?v=0A6KCd9fcY4 http://www.youtube.com/watch?v=qebO0FXOYVI http://www.youtube.com/watch?v=rhVi9CT93zM http://www.focusmalaysia.my/Enterprise/digital-dur... https://www.facebook.com/didiandfriends