Sejarah Dolar_Selat

Pada awal abad ke-19, mata wang yang paling umum digunakan di Hindia Timur ialah dolar Sepanyol, termasuk terbitan-terbitan dari kedua-dua Sepanyol dan tanah-tanah jajahan Sepanyol dunia baharu, khususnya Mexico. Duit syiling tempatan yang digunakan termasuk keping Kelantan, keping Trengganu, dan dolar Pulau Pinang.

Pada 1837, rupee India dijadikan mata wang rasmi yang tunggal di Negeri-negeri Selat kerana ia ditadbirkan sebagai sebahagian India. Bagaimanapun, dolar Sepanyol terus diedarkan. Pada 1845, mata wang Negeri-negeri Selat diperkenalkan, dengan dolar Selat sama nilainya dengan dolar Sepanyol atau peso Mexico, dan 100 cent = 1 dolar. Dolar kemudian menjadi mata wang piawai pada tahun 1867 apabila pentadbiran Negeri-negeri Selat dipisahkan dari India.

Sejak 1898, dolar Selat dikeluarkan oleh Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang yang baharu dan bank-bank swasta tidak lagi dibenarkan mengeluarkan nota-nota. Nilainya menyusut sepanjang lapan tahun yang berikut and kemudian ditetapkan pada nilai dua syiling empat peni sterling pada 1906.

Dolar Selat digantikan dengan dolar Malaya pada nilai yang sama pada 1939. Sehingga hari ini, Brunei dan Singapura masih menggunakan pengganti unit ini, tetapi Malaysia mengamalkan sistem sendiri pada tahun 1973.