Enjin_dua_lejang

Enjin dua lejang mempunyai prinsip pengendalian yang berbeza daripada enjin empat lejang iaitu enjin dua lejang melengkapkan keempat-empat proses (masukan, mampatan, kuasa dan ekzos) yang dilakukan pada enjin empat lejang dalam setiap dua lejang, ataupun setiap satu putaran enjin sahaja. Ia dilakukan dengan menggunakan bahagian permulaan lejang mampatan bagi melaksanakan fungsi lejang masukan dan ekzos secara serentak. Dengan ini, enjin dua lejang menghasilkan kuasa spesifik yang lebih tinggi, menjadikannya sesuai bagi kerja-kerja ringan dan mudah alih seperti gergaji rantai sehinggalah kepada penggunaan berskala besar seperti lokomotif kereta api.Dari segi pelinciran, enjin petrol dua lejang memerlukan minyak pelincir khas yang boleh terbakar, dikenali sebagai minyak 2T disebabkan operasi kitar dua lejang turut melibatkan ruangan dalam kotak engkol, tidak seperti kotak engkol enjin empat lejang yang terasing sepenuhnya daripada kebuk pembakaran. Pembakaran minyak 2T ini merupakan satu penyebab utama kepada pencemaran yang dihasilkan oleh enjin petrol dua lejang..Penciptaan kitar dua lejang mula dilakukan oleh Dugald Clark sekitar 1880 dengan enjin yang mempunyai silinder pengepam berasingan. Enjin pengepaman kotak engkol, yang menggunakan kotak engkol sebagai pengepam, telah dicipta oleh Joseph Day (dan Frederick Cock bagi liang masukan kawalan omboh).