Kehidupan Euclid

Tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan Euclid kerana hanya sedikit sumber yang wujud tentang beliau. Tarikh dan tempat kelahirannya serta kematiannya tidak diketahui, dan hanya dapat dianggar berdasarkan tokoh-tokoh sezamannya yang disebut dalam sumber. Berkemungkinan besar beliau dilahirkan sekitar tahun 322 SM dan meninggal dunia sekitar tahun 275 SM. Oleh kerana tiada sebarang penerangan tentang perwatakan fizikalnya yang wujud, gambaran Euclid dalam karya seni hanyalah produk imaginasi ahli seni.

Beberapa rujukan sejarah tentang Euclid ditulis beberapa kurun selepas kematiannya, oleh Proclus dan Pappus dari Iskandariah.[4] Proclus menceritakan tentang Euclid secara ringkas dalam karya kurun ke-5 nya yang bertajuk Commentary on the Elements. Menurut Proclus, Archimedes dikatakan pernah menyebut tentang Euclid yang disoal Raja Ptolemy samada terdapat jalan mudah untuk mempelajari geometri selain daripada Elemen, Euclid menjawab, "Tuanku, tiada jalan diraja kepada Geometri." Walaupun petikan dari Archimedes yang didakwa disampaikan oleh Euclid ini telah dianggap hanyalah penambahan dari para penyunting karyanya, ia masih dipercayai ramai yang Euclid menulis karyanya sebelum Archimedes.[5][6] Dalam rujukan penting lain tentang Euclid, Pappus secara ringkas menyatakan dalam kurun ke-4 yang Apollonius "menghabiskan masa yang sangat banyak dengan para murid Euclid di Iskandariah, dan oleh kerana itu beliau telah mendapat pemikiran yang sangat saintifik."[7] Euclid juga dipercayai pernah menuntut di akademi Plato di Athens.