Pengenalan Falsafah_India

Manusia sering digambarkan sebagai binatang yang berfikir. Apabila nafsu binatangnya dipuaskan, dia berpeluang untuk maju ke tahap evolusi yang lebih tinggi. Falsafah, termasuk metafizik, adalah satu aspek tertinggi evolusi ini. [1]

Perkembangan sistem falsafah India adalah dipengaruhi oleh dua faktor utama, iaitu proses intelektual dan pengalaman mistik. Oleh itu, falsafah India juga dikenali sebagai ‘Darśana’ (secara literal bermaksud ‘dilihat’).

Matlamat Utama Falsafah India

Semua Darśana menemui bahawa meskipun manusia berusaha dengan bersungguh-sungguh, kehidupannya penuh penderitaan. Oleh itu, matlamat utama Darśana- Darśana ini adalah untuk melepaskan diri daripada penderitaan, bukan sahaja untuk sekarang, tetapi untuk selama-lamanya. Ahli-ahli falsafah Hindu telah menenggelami diri mereka sendiri untuk mencari matlamat hidup.[2]

Kaedah utama falsafah Hindu ialah Tapas (disiplin rohani), Sravana (mendengar kebenaran daripada guru-guru), dan Manana (penghayatan ilmu). Ahli-ahli falsafah Hindu juga menyedari bahawa akal manusia mempunyai hadnya iaitu ia bukan sumber ilmu yang bebas dan tulen. Oleh itu, mereka bergantung kepada Sruti atau Veda untuk mendapatkan ilmu. Dengan bantuan akal fikiran, mereka cuba memahami maksud Veda. Usaha mereka berhasil apabila dengan mengikuti ajaran Veda, mereka berjaya mengatasi penderitaan dan kesengsaraan hidup; dan akhirnya mencapai kebebasan.[3]

Namun, interpretasi berlainan Veda telah melahirkan mazhab-mazhab yang berbeza. Kini, semua mazhab ini telah disatukan di bawah enam mazhab yang dikenali sebagai Saddarśana.

Evolusi Darsana

Enam sistem atau Saddarśana ini, iaitu - Nyaya, Vaisesika, Sānkhya, Yoga, Mimamsa, dan Vedanta telah dimulakan oleh golongan Rishi zaman purba. Nama-nama mereka muncul bukan sahaja dalam Veda, tetapi juga dalam Purana dan epik purba. Ajaran mereka berada dalam bentuk Sutra yang pendek lagi mudah diingati. Sutra-Sutra ini telah diturunkan daripada generasi ke generasi secara tradisi lisan. Apabila penghasilan karya bertulis makin berleluasa, pendeta-pendeta menghasilkan Bhasyas, Tikas, Vrttis, dan Varttikas (pelbagai bentuk ulasan dan eksposisi dalam bentuk prosa dan puisi) bagi menjelaskan idea-idea mazhab mereka dengan lebih mendalam. Sering kali, wujud perselisihan pendapat dalam kalangan mazhab-mazhab ini. Bagi mempertahankan ajaran masing-masing, mereka terpaksa menghasilkan karya-karya yang logikal dan rasional dan juga menyerang balas ajaran yang bertentangan. Dalam proses ini, pelbagai sastera falsafah yang hebat telah lahir di India.

Faktor Umum

Meskipun wujud perbezaan doktrin yang amat berbeza antara enam sistem ini, namun dari segi amalan, wujud keharmonian dan persefahaman yang ketara.

Semua sistem ini bermula dari titik yang sama iaitu kewujudan penderitaan dalam kehidupan. Matlamat akhir ialah untuk mendapatkan kebebasan sepenuhnya daripada penderitaan. Keadaan ini hanya boleh diperolehi dengan ilmu yang betul. Ilmu yang betul bukan sahaja ilmu intelektual tetapi pengalaman terus. Pengalaman sendiri tentang sifat sebenar diri sebagai roh yang mengatasi gabungan badan-minda diperlukan.

Bagi mencapai ini, disiplin-disiplin seperti amalan hidup bermoral, mengelakkan daripada Arisadvargas atau enam musuh seperti nafsu berahi, ketamakan, dan kebencian, mesti diamalkan, Di samping itu, seseorang juga mesti memikirkan, menghayati dan melakukan meditasi berterusan ke atas kebenaran yang didengarnya, sehingga dia menyedari kebenaran itu.

Semua Saddarśana juga mempercayai hukum karma. Dunia ini ialah sebuah pentas bagi melakonkan watak kita dengan baik sehingga menambah tahap rohani kita secara beransur-ansur.

Akhirnya, semua sistem ini menunjukkan satu perkembangan dari tahap rendah ke tahap yang tertinggi. Sistem-sistem ini membantu manusia maju dari kebenaran yang rendah ke Kebenaran Tertinggi dalam Vedanta. Sistem Vedanta bukan sahaja dianggap sebagai kemuncak tertinggi falsafah Hindu, tetapi ia juga boleh mengangkat dada sebagai falsafah yang terhebat dalam kalangan semua falsafah di dunia.

Empat Soalan Utama

Empat soal utama yang dibincangkan dalam falsafah ialah[4]:

  • Alam dan ciptaan atau evolusi
  • Kewujudan dan sifat Tuhan atau Yang Maha Mutlak
  • Sifat semula jadi manusia
  • Matlamat hidup manusia

Perbezaan pandangan dalam perbincangan mengenai soal-soal ini telah melahirkan beberapa mazhab berlainan. Mazhab-mazhab ini dibahagikan secara kasar kepada dua iaitu Astika dan Nastika.

Nastika Darśana

Mazhab Nastika tidak menerima Veda. Terdapat 3 mazhab di bawah kumpulan ini:

  • Carvaka Darśana – Mazhab ini menafikan kewujudan roh. Oleh itu, ia mengajar kehidupan materialistik sepenuhnya dan tidak ada sebarang konsep tentang kehidupan selepas kematian. Semua penulisan mazhab ini telah hilang.
  • Jaina Darśana – Ini ialah asas agama Jain
  • Bauddha Darśana – Ini ialah asas agama Buddha

Astika Darśana

Mazhab Astika menerima dan mengakui kewibawaan Veda. Terdapat 6 mazhab Astika atau Saddarśana iaitu:

  • Nyāya Darśana oleh Gautama
  • Vaisesika Darśana oleh Kanada
  • Sankhya Darśana oleh Kapila
  • Yoga Darśana oleh Patanjali
  • Mimamsa Darśana oleh Jaimini
  • Vedanta Darśana oleh Badarayana