Fredrik_Reinfeldt
Fredrik_Reinfeldt

Fredrik_Reinfeldt

John Fredrik Reinfeldt (disebut [ˈfreːdrɪk ˈrajnˌfɛlt] (bantuan·info)) (lahir pada 4 Ogos 1965 di Österhaninge, Daerah Stockholm, Sweden) ialah Perdana Menteri Sweden masa kini, ketua Parti Sederhana konservatif liberal dan juga Presiden Majlis Eropah untuk separuh akhir tahun 2009. Anak kelahiran daerah Stockholm ini menyertai pertubuhan Konservatif Muda Sweden pada tahun 1983, dan memegang jawatan pengerusi pada tahun 1992 hingga 1995. Beliau menyertai Parlimen Sweden sebagai wakil bagi tempat kelahiran sendirinya sejak tahun 1991. Berikutan tumpasnya kerajaan campuran pimpinan Sederhana dalam pilihan raya tahun 1994, Reinfeldt semakin mengecam kepimpinan parti oleh Carl Bildt ketika itu, menyebabkan dirinya disisihkan oleh ahli parti lain. Walau apapun, berikutan pertukaran kepimpinan pada tahun 1999 diikuti kekalahan teruk pada pilihan raya tahun 2002, Reinfeldt lambat-laun semakin berpengaruh dalam Parti Sederhana.Reinfeldt dipilih menjadi ketua parti pada 25 Oktober 2003, mengambil alih dari Bo Lundgren. Di bawah kepimpinannya, Parti Sederhana banyak mengubah dasar-dasarnya serta mengubah haluan ke tengah melalui gelaran "Pihak Sederhana Baru" (Bahasa Sweden: Nya moderaterna). Berikutan kejayaan di pilihan raya umum pada 17 September 2006, Reinfeldt dilantik menjadi Perdana Menteri oleh Parlimen Baru pada 5 Oktober dan memperkenalkan jemaah menterinya pada hari berikutnya. Bersama tiga buah parti politik lain dalam Perikatan untuk Sweden yang berhaluan kanan tengah, Reinfeldt mengetuai kerajaan campuran yang disokong majoriti tipis dalam parlimen. Pada usia 41 tahun, beliau menjadi orang ketiga termuda yang menjadi Perdana Menteri Sweden. Reinfeldt mengahwini seorang lagi ahli politik bernama Filippa Reinfeldt.