Sejarah Furisode

Perubahan

Dikatakan bahawa prototaip furisode dicipta sekitar zaman Asuka.[10]

Pada zaman moden awal, terdapat furisode dan tomesode, tetapi furisode dan tomesode pada zaman tersebut berbeza daripada furisode dan tomesode moden.[11] Pada zaman moden awal, furisode mempunyai lapan bukaan dan bahagian bawah lengan terbuka, dan dipanggil 'wakiaki' (waki 'ketiak', aki 'terbuka'). Tomesode dipanggil 'wakifusagi' (waki 'ketiak', fusagi 'tertutup') atau 'wakitsume' (waki 'ketiak', tsume 'terjahit') kerana tomesode tidak mempunyai lapan bukaan dan lengan yang dijahit dengan badan.

Menurut karya Saikaku Zoku Tsuredure oleh Saikaku Ihara (1695), furisode biasanya dijadikan tomesode dengan memendekkan lengan dan menutup bahagian tepi apabila pemakainya mencapai umur dewasa, iaitu musim bunga umur 17 tahun untuk lelaki, dan musim luruh umur 19 tahun untuk perempuan, tidak kira sama ada mereka sudah berkahwin atau tidak.

Tamafuri

Sejak zaman dahulu, perbuatan melambai kain mempunyai makna ajaib. Wanita yang berkhidmat kepada dewa melakukan tamafuri, iaitu melambai kain panjang dan lengan panjang.[10]

Di samping itu, dikatakan bahawa wanita yang belum berkahwin kadang-kadang melambai lengan furisode sebagai tanda bercinta. Lambaian lengan ke depan belakang bermaksud 'tidak suka', manakala lambaian lengan ke kiri kanan pula bermaksud 'suka'. Perkara ini boleh didapati dalam petikan daripada dokumen pada zaman Edo seperti Kana Zoshi dan Koshiki Ichidai Otoko, yang mana dikatakan bahawa furisode ialah etimologi ungkapan futta, furareta 'menolak (cinta) dan (cinta) ditolak' dalam hubungan cinta moden.[12]