Sejarah Gabungan_Pelajar_Pelajar_Melayu_Semenanjung

Kemunduran bangsa Melayu dalam bidang ekonomi, sosial, dan politik menjadi pendorong yang kuat ke arah penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 14 dan 15 Ogos 1948. Atas hasrat untuk mengatasi kemunduran tersebut maka berkumpullah beberapa orang pelajar Melayu Maktab Raffles dan Maktab Perubatan Singapura untuk menaja penubuhan badan pelajar Melayu peringkat kebangsaan yang bertujuan menggabungkan badan pelajar yang sedia wujud ketika itu.

Kesedaran orang Melayu khususnya dalam kalangan pelajar tentang kemunduran dalam tiga (3) lapangan hidup tersebut bermula sejak awal tahun 1900 lagi. Sekitar tahun 1906 percubaan radikal untuk merubah cara fikir dan nilai-nilai hidup yang dianggap merugikan orang Melayu seperti halangan kepada anak gadis untuk bersekolah dan sikap yang tidak menggalakkan anak-anak muda yang terdidik di Timur Tengah. Tokoh pelajar yang terkemuka ialah Syed Al Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Syed Salim Al-Kalali.

Dalam bidang ekonomi pula, pemikir muda iaitu Zainal Abidin Ahmad (Za’aba) menulis rencana khas tentang kemiskinan orang Melayu yang tersiar dalam Al Ikhwan 16 Mac 1927. Manakala dalam bidang politik telah bangkit pula angkatan pelajar dari Sultan Idris Training College (SITC) yang bekerja keras untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Melalui asuhan semangat dari guru muda seperti Abdul Hadi Hassan dan Harun Aminurashid, pelajar tersebut yang diketuai Ibrahim Haji Yaacob meneroka perjuangan siasah secara kolektif.

Walau bagaimanapun, semua tuntutan dan perjuangan tersebut  menjadi semakin berkesan hanya setelah tamatnya Perang Dunia Kedua. Ketika itu timbul kesedaran nasionalisme menjadi gerakan sosial (social force) sebagai akibat daripada penyebaran idea tentang kemerdekaan dan pembangunan. Kemenangan Jepun dalam peperangan tersebut dan hasrat Inggeris untuk menjadikan Persekutuan Tanah Melayu sebagai negara jajahan melalui konsep “Kesatuan Malaya” menyuburkan secara spontan peribadi Melayu yang mementingkan rasa ketuanan di negara sendiri.

Sebenarnya GPMS telah pun melalui empat  peringkat masa iaitu dengan penubuhan beberapa kumpulan pelajar Melayu yang dengan sedar meningkatkan kualiti pelajaran dan pendidikan orang Melayu.

Peringkat Pertama ialah pada tahun 1937 di mana tertubuhnya “Malay Boys League” di Penang Free School; Kedua, pada tahun 1945 dengan tertubuhnya “Kesatuan Penuntut Melayu Victoria Institution”; Ketiga, pada tahun 1947 iaitu dengan tertubuhnya “Kesatuan Penuntut Melayu Selangor”; dan Keempat, pada tahun 1948 apabila tertubuhnya “Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)”.

Malay Boys League 1937

Penang Free School adalah sekolah yang pertama didirikan di Tanah Melayu iaitu pada tahun 1816. Sejak dari tahun tersebut hingga tahun 1937 pelajar Melayu sentiasa ketinggalan dalam hal persekolahan. Pada setiap tahun hanya pelajar bukan Melayu menduduki tempat tertinggi dalam setiap peperiksaan yang dijalankan. Walau bagaimanapun, tradisi kejayaan pelajar bukan Melayu dapat dipecahkan oleh seorang pelajar Melayu, Abdul Wahab Mohamed Ariff setelah beliau berjaya menjadi pelajar terbaik dalam peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1937 dan dianugerahkan Penang Free School Centenery Gold Medal pada tahun 1938. Kejayaan tersebut merupakan rekod kejayaan pertama dicapai oleh seorang pelajar Melayu.

Kejayaan Abdul Wahab Mohamed Ariff menakjubkan teman sebangsanya. Sebagai akibat dari peristiwa tersebut beliau diminta oleh teman-temannya menunjukkan teknik untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. (Abdul Wahab Ariff adalah penuntut terbaik dalam peperiksaan Standard VI, VII, Junior Cambridge dan Senior Cambridge). Beliau menyahut seruan teman-temannya dan memberikan bimbingan pelajaran kepada mereka.

Memandangkan teman-teman terlalu bergantung harapan yang tinggi kepadanya, maka pada tahun 1937 Abdul Wahab Ariff mengambil inisiatif menubuhkan Malay Boys League yang bertujuan menyediakan dan melahirkan lebih ramai pelajar Melayu yang berjaya mendapat pingat emas. Belia dipilih sebagai Kapten Liga tersebut. Beberapa ketika setelah penubuhan liga, Abdul Wahab diminta oleh guru besarnya untuk membubarkan Liga yang dipimpinnya dan dalam keadaan yang terpaksa, Abdul Wahab Ariff mematuhi arahan tersebut meskipun luahannya,

‘…..in my blood I still felt much concerned for the educational betterment of my fellow Malay students.’ meskipun begitu, ‘….Outside school I managed to organize another Malay Student League which was more of an educational and social organization.’

Begitulah Abdul Wahab Ariff anak muda yang ketika itu berumur 18 tahun berjaya merintis penubuhan perkumpulan pelajar yang menjalankan usaha sendirian untuk meninggikan kualiti pelajaran dan pendidikan teman-temannya. Usahanya terpaksa dimatikan pada tahun 1939 apabila beliau dipilih melanjutkan pelajaran di King VII College of Medicine, Singapura.

Kesatuan Penuntut Melayu Victoria Institution 1945

Penggunaan Bahasa Inggeris dan pemusatan sekolah di bandar menjadi ciri utama dalam sistem persekolahan menengah dan tinggi kolonial Inggeris di Tanah Melayu. Sebagai akibat daripada keadaan ini terdapatnya kelompok pelajar Melayu yang amat kecil pada kedua-dua peringkat persekolahan tersebut.

Aminuddin Baki (6 Januari 1926 - 25 Disember 1965) ialah "Bapa Pendidikan Malaysia" serta bekas Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan) yang paling muda ketika berusia 36 tahun. Beliau mempertingkatkan mutu pelajaran di negara ini, termasuk menyusun Dasar Pelajaran Kebangsaan melalui Laporan Pendidikan Razak pada tahun 1956, dan Laporan Abdul Rahman Talib pada tahun 1960. Banyak sekolah dan institusi di Malaysia telah dinamakan sempena namanya.

Dilahirkan di sebuah kampung di Chemor, Perak, Aminuddin memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Chemor pada tahun 1932. Selepas lulus peperiksaan darjah lima pada tahun 1936, beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson yang merupakan sekolah Inggeris yang terbaik di Ipoh ketika itu. Beliau tamat persekolahan menengahnya pada tahun 1941.

PENUBUHAN GPMS

Pada sekitar tahun 1945, Aminuddin mula menunjukkan minat dalam persatuan pelajar ketika berasa amat kagum dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Institusi Victoria, Kuala Lumpur, walaupun persatuan itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudian bertukar nama kepada Kesatuan Kesuratan Penuntut-penuntut Melayu pada 11 Februari 1946, dengan tujuan menyatukan semua persatuan pelajar di Tanah Melayu. Aminuddin dilantik sebagai setiausaha dan kemudian, menubuhkan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) di Perak pada April 1946.

Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada Oktober 1947, Aminuddin diterima sebagai pelajar di Kolej Raffles, kini merupakan sebahagian Universiti Nasional Singapura sejak 8 Oktober 1949. Pada masa ini, UMNO yang telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union menggalakkan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar untuk berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka. Oleh itu, Aminuddin dan pemimpin pelajar lain mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh. Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948. Walau bagaimanapun pada tahun 1949, Aminuddin terpaksa menghentikan kegiatan persatuan pelajarnya kerana ditawarkan ke Universiti Malaya, Singapura.

Pada ketika itu, beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh. Semasa di universiti, Aminuddin berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman, beliau mendaftar sebagai guru sambilan di Sekolah Malam Anglo-Melayu. Beliau mengajar di sekolah itu dari tahun 1949 hingga 1951. Pada tahun 1950, beliau bergiat aktif semula dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan itu. Dalam tahun yang sama, beliau lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, memperoleh Ijazah Sarjana Sastera dengan Kepujian.

Sekitar tahun 1945 hingga 1946, Aminuddin Baki mula menunjukkan minat terhadap persatuan pelajar. Beliau sangat kagum dengan Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Victoria Institution, Kuala Lumpur walaupun persatuan itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudiannya bertukar nama kepada Kesatuan Kesuratan Penuntut-Penuntut Melayu yang ditubuhkan pada 11 Februari 1946, dengan tujuan menyatukan semua persatuan pelajar di Tanah Melayu. Manakala, Aminuddin pula telah dilantik sebagai setiausaha.

Pada masa yang sama, beliau telah menubuhkan persatuan pelajar di Perak yang dikenali sebagai Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Insaf (PERMI) pada April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada Oktober 1947, beliau telah diterima sebagai pelajar di Kolej Raffles yang kini merupakan sebahagian daripada Universiti Nasional Singapura sejak 8 Oktober 1949.

Di sinilah Aminuddin telah bertemu dengan Abdul Wahab Mohamed Ariff apabila mereka tinggal sebilik. Abdul Wahab pada ketika itu adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Kolej Perubatan dan Kolej Raffles, Singapura dan sangat mengambil berat tentang jumlah pelajar-pelajar Melayu di pusat Pengajian Tinggi. Jadi, mereka selalu berbincang mengenai pergerakan pelajar dan akhirnya mereka melahirkan idea menubuhkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung. Antara mereka yang turut memberi sokongan kepada idea ini ialah Mohd. Nor Marahakim, Abdullah Majid dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Bermula dengan persidangan yang membabitkan tujuh kesatuan pelajar di Jalan Tambun, Ipoh, satu konvensyen pelajar Melayu dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu telah diadakan di Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Ogos 1948. Di sinilah satu ketetapan dibuat untuk bersetuju menubuhkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung atau lebih dikenali dengan singkatan GPMS.

Penubuhan GPMS digerakkan oleh lima orang mahasiswa dari Kolej Raffles dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura (kolej ini kemudiannya menjadi Universiti Malaya, Singapura selepas bergabung dengan Kolej Raffles). Mereka yang bertanggungjawab mengadakan konvensyen dan menubuhkan Jawatankuasa Sementara GPMS dibarisi oleh Aminuddin Baki (Presiden GPMS 1950-1951 dan 1952-1953), Datuk Paduka Prof. Abdul Wahab Mohamed Ariff (Presiden GPMS 1948-1949), Mohd. Nor Marahakim, Abdullah Majid dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

GPMS adalah satu-satunya persatuan pelajar kebangsaan yang pertama ditubuhkan di negara ini hasil dari kesedaran akan pentingnya bidang akademik di kalangan anak-anak Melayu. GPMS memperkenalkan konsep kelas bimbingan sejak tahun 1950-an lagi. Kegiatan kelas bimbingan ini mendapat sambutan yang cukup baik daripada pelajar dan masyarakat pada masa itu. Mulai tahun 1960-an, pertubuhan belia negara ini mula menjadikan kelas bimbingan sebagai aktiviti persatuan.

Dalam tahun 1958, GPMS mula meneroka aktiviti-aktiviti baru dengan mengadakan kursus untuk pelajar. Dalam kursus ini, konsep perkhidmatan masyarakat mula diperkenalkan. Ahli-ahli GPMS khususnya dari Universiti Malaya bergerak mendampingi masyarakat dan meniupkan kesedaran ke dalam diri mereka akan peri pentingnya pelajaran sebagai kunci kemajuan bangsa. Sebagai susulan daripada kejayaan program itu, projek Gerakan Obor pula dipergiatkan. Pada tahun 1971, GPMS melancarkan Operasi Pembangunan Masyarakat di beberapa buah tempat di tanah air.

Sejak tahun 1970-an, GPMS berusaha membantu pelajar melalui program siri Ceramah Teknik Menjawab Soalan Peperiksaan SPM Dan STPM. Zaman terus berlalu, GPMS ikut merintis program-program baru seperti Ceramah Motivasi, Seminar Teknik Pembelajaran Secara Berkesan, Seminar Bimbingan Kerjaya, Peluang Melanjutkan Pelajaran, Kem Pendidikan dan Kem Kerjaya. Segala aktiviti yang menjurus kepada pendidikan mencerminkan perjuangan utama dan iltizam GPMS. GPMS sentiasa bekerjasama dengan badan dan organisasi lain yang berusaha meninggikan taraf pendidikan anak-anak bangsa Melayu.

Dalam usianya sudah mencecah 68 tahun, perjuangan GPMS berhasil memperkasakan perjuangan pelajar Melayu yang tidak pernah kunjung padam. GPMS yang mempunyai cawangan dan badan gabungan di seluruh semenanjung berusaha tanpa jemu untuk kecemerlangan pendidikan pelajar-pelajar Melayu demi maruah bangsa dan negara.

Berbekalkan moto ‘Belajar Terus Belajar’, GPMS terus memperjuangkan dan membela nasib pelajar-pelajar Melayu. Mudah-mudahan usaha murni ini demi memartabatkan agama Islam, bangsa Melayu dan bumi Malaysia yang tercinta ini akan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT.

Kini GPMS terus memberikan sumbangan kepada negara melalui program pendidikan, kebajikan, keagamaan dan kebudayaan. Keseluruhan program tersebut dipadankan dengan tujuan GPMS iaitu ‘menjaga hak-hak, mengemukakan segala permintaan dan memperbaiki keadaan pelajar  Melayu dari segenap lapisan’.

GPMS dan badan-badan gabungannya berjaya melahirkan pemimpin negara dalam pelbagai lapangan. Antaranya dalam bidang politik lahirlah pemimpin termasuk Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi (Perdana Menteri Malaysia ke 5), Tun Musa Hitam (bekas Timbalan Perdana Menteri), Dato’ Mohamed Rahmat, Dato’ Ali Haji Ahmad, Hussein Mahmood, Dato’ Rosnah Majid (Kedah), Dato’ Hasan Malek, Dato’ Suhaimi Ibrahim, Dato’ Rahman Palil (Selangor), Dato’ Abdul Rahman Karim (Melaka), Dato’ Sulaiman Shafie (Perlis), Datuk Seri Panglima Lajim Ukin (Sabah), Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dan ramai lagi.

Dalam perkhidmatan awam pula terdapat tokoh seperti Tun Abdullah Ayob, Tan Sri Abdullah Salleh, Tan Sri Ishak Tadin, Tan Sri Ishak Pateh Akhir, Tun Hanif Omar, Tan Sri Rozhan Kuntom, Tan Sri Sallehuddin Mohamed, Tan Sri Alwee Jantan, Tan Sri Kamaruzaman Shariff, Tan Sri Zainal Ariff, Dato’ Mohd Nor Ismail, Dato’ Mohd Amir Haji Yaakub, Puan Ann Abd. Majeed, Puan Zaharah Mokhtar, Dato’ Mariam Majid dan Dato’ Sehan Awang Ain.

Dalam bidang pendidikan pula, muncul tokoh seperti Prof. Dato’ Dr. Awang Had Salleh, Prof. Farid M. Onn, Prof. Amir Awang, Prof. Dr. Haji Raja Mokhtaruddin Mohd Dain, Prof. Dr. Syed Hussin Ali, Dato’ Prof. Nik Abdul Rashid Majid, Dato’ Paduka Dr. Abd Wahab Mohd Ariff, Tan Sri Nordin Kardi, Dato’ Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah, Dato’ Dr. Firdaus Abdullah, Dato’ Dr. Ahmad Faiz Abdul Hamid, Dr. Yahya Md. Hassan, Dr. Siti Hawa Kassim dan Dato’ Dr. Sharifuddin Zainudin. Tidak ketinggalan juga dalam bidang penulisan, lahirnya orang-orang GPMS seperti Dato’ M. Noor Azam, Sultan Shahril Lembang, Hashim Amir Hamzah dan Dato’ Jaafar Abdul Rahim.

GPMS memperkenalkan konsep kelas bimbingan di negara ini dalam tahun 1950-an. Kegiatan kelas bimbingan mendapat sambutan yang baik daripada pelajar dan masyarakat. Mulai tahun 1960-an badan belia di negara ini mula menjadikan kelas bimbingan sebagai aktiviti persatuan masing-masing.

Dalam tahun 1958, GPMS mula meneroka aktiviti baharu dengan mengadakan kursus pelajar. Menerusi kursus ini konsep perkhidmatan masyarakat diperkenalkan. Ahli GPMS khususnya dari Universiti Malaya, mendampingi masyarakat dan meniupkan kesedaran bahawa pelajaran kunci kemajuan bangsa. Hasil dari kejayaan program itu, projek Gerakan Obor dipergiatkan dan pada 1971, GPMS melancarkan Operasi Pembangunan Masyarakat di beberapa buah tempat di negara ini.

Pada tahun 1970-an dan 1980-an, GPMS berusaha membantu pelajar melalui program siri ceramah teknik menjawab soalan peperiksaan SPM dan STPM. Pada zaman pembangunan teknologi maklumat ini, GPMS merintis program baharu iaitu siri Ceramah Bimbingan Kerjaya dan Projek Khemah Kerjaya. Segala aktiviti yang menjurus kepada pendidikan menjadi perjuangan utama GPMS. GPMS sentiasa bekerjasama dengan badan-badan lain yang berusaha meninggikan taraf pelajaran anak bangsa.

Pada tahun-tahun 1990-an pula, GPMS memberi tumpuan kepada usaha untuk menyusun semula organisasi dan memantapkan lagi perjuangan sesuai dengan perkembangan dan perubahan semasa. Program-program baharu diperkenalkan menerusi Agenda Perdana GPMS yang dikenali sebagai Agenda 20 semasa meraikan ulang tahun GPMS kali ke-50 pada tahun 1998 dengan memberi penekanan kepada kumpulan sasar pelajar yang lemah dan bermasalah, golongan siswa serta anggota masyarakat.

Pada awal tahun 2000, GPMS memperhebatkan aktivitinya dengan melatih seramai 10 orang fasilitator bagi setiap daerah dengan tujuan membimbing dan merancakkan kegiatannya di seluruh negara. Beberapa kajian dan permasalahan yang melibatkan remaja, pencapaian pelajar-pelajar Melayu dilakukan bagi mengenalpasti punca serta mengemukakan beberapa cadangan untuk mengatasi masalah tersebut.

Sambutan Malam Gemilang Adiwangsa 60 tahun GPMS pada tahun 2008 memberi gambaran yang jelas bahawa GPMS tetap relevan selagi mana ilmu dan pendidikan menjadi keutamaan dalam menentukan kemajuan negara. Keutuhan dan kredibiliti GPMS dipertahankan dan dimantapkan dari semasa ke semasa agar seiring dengan kemajuan dunia. Mulai tahun 2009, kepimpinan GPMS bertukar tangan kepada pemimpin yang berumur di bawah 40 tahun mengikut ketetapan Akta 668 – Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007.

Kepimpinan muda ini telah mengorak langkah dengan lebih pantas lagi dengan penambahan cogan kata baharu iaitu “GPMS SINGA PERJUANGAN BANGSA”. Sentiasa diperingatkan jua bahawa perjuangan GPMS bukanlah setakat berani memperjuangkan isu pendidikan dan Melayu dengan hanya membuat kenyataan dalam akhbar, bantahan atau demonstrasi sahaja. Sebaliknya, GPMS mesti berdiri kukuh dengan anjuran program yang mantap dan berterusan serta dapat memberi kesan yang mendalam kepada segenap lapisan pelajar. Justeru, Deklarasi PAT 2010 yang mengandungi 100 Tuntutan Penambahbaikan Pendidikan Melayu.

Lambang GPMS sendiri ialah suluh merah putih di tangan yang berwarna merah menerangi peta putih Semenanjung berlatar hijau. Dengan sepotong ayat lambang GPMS membawa makna:

“Dengan hati yang suci murni, kami pelajar-pelajar Melayu Semenanjung Tanah Melayu bersatu berdasarkan keislaman dan kebangsaan, berjuang dengan berani kerana benar, untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa sebagai syarat mencapai kemajuan dan kemuliaan bangsa Melayu.”

Bermula pada tahun 2015 di bawah kepimpinan Presiden terkini, Tuan Haji Zambri Mohd Isa, perjuangan GPMS terus kukuh, bergerak untuk setiap zaman selagi menerusi pengenalan dasar dan strategi baru berteraskan ‘Amanah 448’. Ia membawa maksud; meneruskan legasi perjuangan GPMS dengan menjunjung Prinsip 4 SEDAR yang diasaskan pada tahun 1948 oleh Allahyarham Aminuddin Baki dan rakan-rakan.’ GPMS yang kini mempunyai 250 buah cawangan dan badan gabungan di seluruh Semenanjung, tidak jemu-jemu menaburkan jasa dan bakti.

GPMS meneruskan semangat pemimpin pengasasnya, Allahyarham Aminuddin Baki yang sentiasa menyeru kepada bangsa Melayu supaya “Belajar Terus Belajar” supaya tidak berlaku umpama kata orang tua-tua “Itik di air mati kehausan dan ayam di kepok mati kelaparan”.

GPMS kini berdiri gagah sebagai persatuan pelajar peringkat kebangsaan yang tertua di negara ini dan yang banyak berjasa kepada masyarakat Melayu. GPMS tetap terus berbakti kepada agama, bangsa dan tanahair.