Sinopsis Ghaib_(drama)

Membawa elemen kisah permainan 'spirit of coins' yang cukup terkenal di kalangan penghuni asrama dan peserta perkhemahan.

Permainan ini dianggap mempunyai misterinya yang tersendiri kerana roh individu yang sudah mati akan menghantui para pemainnya.

Drama ini berlatarkan sebuah kolej yang mana belakang bangunan kolej itu terdapat sebuah gua terbiar.

Suatu malam, empat orang pelajar, Mimie (Scha Elinnea), Jessica (Eyka Farhana), Nina (Erynne Erynna) dan Suzi (Qara Lyana) memasuki gua berkenaan untuk bermain 'spirit of coins'.

Mereka menyeru roh penunggu di dalam gua, sebelum satu lembaga yang dikenali sebagai hantu Mona (Chandni Kaur DFKL) memunculkan diri.

Mereka yang berada dalam ketakutan, lantas melarikan diri ke pondok pengawal keselamatan kolej untuk membuat aduan. Namun mereka menyedari Mimie sudah tiada lagi bersama mereka.

Kehilangan pelajar perempuan itu kemudiannya telah menjadi kes polis.

Detektif Riza (Shukri Yahaya) dan Inspektor Anita (Siti Elizad Sharifuddin) yang ditugaskan untuk menjalankan siasatan, bagaimanapun enggan mempercayai kisah kewujudan hantu Mona yang diperkatakan ramai.

Malah mereka menolak cakap-cakap yang mengatakan kolej itu berpuaka.

Puan Maurice (Joanna Bessey) selaku pengetua tidak menyenangi kehadiran detektif di kolejnya lantas meminta mereka supaya mengunci mulut tentang kejadian yang berlaku kerana ingin menjaga nama baik premisnya.

Detektif Riza dibelenggu rasa aneh kerana misteri kehilangan pelajar itu langsung tidak meninggalkan sebarang jejak.