Umum Gundam

Konsep

Siri Gundam boleh dikatakan dibangunkan oleh pengarah animasi terkenal, Tomino Yoshiyuki. Siri turut melibatkan sekumpulan staf dari Sunrise yang digelar dengan nama samaran Yatate Hajime.

Semasa di peringkat konsep, siri ini bernama Freedom Fighter Gunboy (Gunboy) kerana pistol yang dilengkapi untuk mecha tersebut, dan sasaran penonton mereka adalah kanak-kanak lelaki berumur 7 hingga 18 tahun (shōnen). Yatate, kumpulan yang terlibat dalam produksi ini menggabungkan perkataan "gun (ガン, gan)" dan "freedom (フリーダム, Furīdamu)" menjadikannya "Gundom (ガンダム, gandamu)". Tomino menukar tajuk kepada nama baru ini dengan menyatakan Gundam menandakan unit yang hebat, serta memegang pistol boleh menahan musuh seperti empangan hidroelektrik yang menahan air.

Kebanyakan Gundam adalah "kenderaan" yang besar, berkaki dua yang dikawal oleh pemandu manusia dari dalam kokpit. Kebanyakan "mobile suit" ini mempunyai kokpit di bahagian dada mesin dengan kamera terbina didalam bahagian "kepala" untuk menghantar imej ke kokpit dan tidak boleh bergerak mahupun berfikir dengan sendirinya. Walau bagaimanapun, Psyco Gundam mempunyai kokpit di bahagian "kepala" dan Superior Gundam mempunyai kecerdasan buatan (artificial intelligence/AI) yang bernama A.L.I.C.E.

Plot Penceritaan

Setiap siri dalam metasiri Gundam ini mempunyai latar cerita yang berlainan mengikut garis masa yang digunakan. Secara asasnya, robot-robot besar atau mecha yang dipanggil "mobile suit" yang muncul dalam siri ini ditonjolkan sebagai salah satu persenjataan sahaja. Disebabkan kelainan jalan cerita yang ditetapkan, siri ini berjaya mendapat peminat di luar golongan sasar dan mendapat tempat di hati penonton dewasa. Ini memberi kesan yang ketara dan dapat dilihat pada anime-anime robot yang keluar selepas siri ini.

Kebanyakan karya Gundam tidak menetapkan pihak baik mahupun baik, sebaliknya ia banyak menceritakan mengenai manusia yang berperang sesama sendiri.Seringkali watak utamanya adalah remaja yang terheret dalam kancah peperangan, menaiki mobile suit dan menyertai peperangan secara terpaksa. Selepas itu, watak utama akan diserapkan ke dalam tentera. Pihak lawan juga bukanlah lawan tunggal (seperti raksasa ataupun makhluk jahat seperti dalam anime lain) sebaliknya satu organisasi seperti negara atau tentera. Malah di pihak lawan juga terdapat kanak-kanak yang terheret ke dalam kancah peperangan seperti watak utama. Babak-babak ngeri peperangan seperti pembunuhan beramai-ramai dengan penjatuhan koloni dan gas beracun banyak dipaparkan dalam siri ini.

Kebanyakan dunia dalam Gundam, manusia telah tinggal di koloni-koloni angkasa lepas dengan Bumi mempunyai kuasa politik yang besar. Tetapi keamanan tidak dapat dikawal dan kekacauan telah ditimbulkan oleh pelbagai pihak yang menghasilkan peperangan. Dalam Gundam, manusia tinggal dalam lingkungan orbit Bulan dan paling jauh adalah Planet Musytari.

Inovasi

Gundam dikatakan telah menerajui anime "Real Robot" yang bermaksud anime mecha dengan elemen realistik.

Tidak seperti anime robot yang lain, Gundam cuba mendekati realiti dalam rekaan robot dan persenjataan dengan memaparkan kehabisan tenaga atau peluru dan juga kerosakan pada mesin membuatkan setiap mesin perlu diselenggara setiap masa. Teknologi yang ditampilkan juga adalah praktikal dan kebanyakannya menggunakan istilah sains angkasa yang sebenar (seperti koloni yang terletak di Titik Langrange) selain unsur-unsur fiksyen seperti zarah Minovsky.

Garis masa Universal Century mempunyai penceritaaan yang agak lengkap dengan menceritakan kepentingan membina senjata yang berupa robot untuk pertarungan jarak dekat dimana zarah Minovsky telah membuatkan senjata-senjata seperti peluru berpandu jarak jauh dan meriam laser kurang berkesan dan sistem amaran awal boleh dikatakan lumpuh. Selain itu, robot membuatkan pergerakan dalam graviti sifar lebih mudah dan juga sesuai semasa pembinaan di angkasa.